MUHAMMAD Khairul Ikhwan hilang sejak 26 Oktober lalu. FOTO Ihsan Polis.
MUHAMMAD Khairul Ikhwan hilang sejak 26 Oktober lalu. FOTO Ihsan Polis.
Nurul Hidayah Bahaudin


Petaling Jaya: Selepas lebih sebulan dilaporkan hilang, seorang kanak-kanak lelaki ditemui selamat di rumah jirannya di flat sama di Desa Mentari, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, Muhammad Khairul Ikhwan Muhammad Rashid, 11, ditemui di rumah warga emas di salah satu blok flat terbabit.

"Dia ditemui dalam keadaan selamat. Difahamkan kanak-kanak ini selalu keluar rumah semasa ibu bapanya keluar bekerja.

"Rutin kanak-kanak ini yang selalu keluar rumah menyebabkan ibu bapanya lewat membuat laporan polis iaitu pada 24 November lalu meskipun tidak balik ke rumah sejak 26 Oktober," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan kanak-kanak terbabit dilaporkan hilang sejak 26 Oktober lalu.

Mohamad Fakhrudin dipetik berkata, kali terakhir kanak-kanak lelaki itu dilihat berada di rumahnya di Desa Mentari jam 1.30 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2023 @ 1:15 PM