Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah Malaysia menolak segala bentuk keganasan terhadap insan yang tidak berdosa dalam sesuatu konflik bersenjata.

Titah Seri Paduka, ia termasuk tindakan pengeboman terhadap orang awam, hospital dan sekolah, pemotongan bekalan air, makanan serta elektrik kepada orang awam.

Baginda bertitah, sebagai sebuah negara berdaulat dan merdeka adalah menjadi tanggungjawab Malaysia untuk menolak keganasan yang bertentangan dengan norma-norma kemanusiaan antarabangsa.

"Barisan kepimpinan negara termasuk pemimpin dalam bidang keselamatan dan pertahanan hendaklah sebilang masa berpegang teguh kepada prinsip-prinsip keamanan serta kemanusiaan sejagat.

"Beta khuatir jika kita tidak menerapkan prinsip-prinsip tersebut mulai dari sekarang, nescaya sebarang pertikaian pada masa hadapan akan berakhir dengan konflik bersenjata yang mengenepikan segala bentuk rasional kemanusiaan," titahnya.

Seri Paduka bertitah demikian sempena Istiadat Konvokesyen ke-13 Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman.

Al-Sultan Abdullah yang juga Canselor UPNM turut bertitah, dalam era serba mencabar peranan institusi pengajian tinggi menuntut anjakan paradigma baharu ke arah kecemerlangan sebagai institusi sandaran rakyat dan negara.

Justeru, titah Seri Paduka, pihak berkenaan seperti UPNM sebagai sebuah universiti pertahanan premier di rantau ini bertanggungjawab untuk melahirkan pemimpin masa hadapan dalam mempertahan kelangsungan kepentingan strategik negara.

"Universiti ini (UPNM) hendaklah sentiasa berpegang kepada falsafah dan visi penubuhannya. Lantaran itu, universiti ini perlu mendepani cabaran realiti geo-politik semasa dengan bijaksana dan sentiasa meneroka serta mengenal pasti bidang-bidang baharu dalam lanskap keselamatan dan pertahanan.

"Kepelbagaian ilmu baharu dalam bidang ini perlu diamati serta dikaji rapi dengan teliti dan menawarkan idea-idea baharu serta kerangka strategi yang sesuai dengan keperluan mutakhir keselamatan dan pertahanan negara.

"Mengambil kira konflik bersenjata yang sedang berlaku di dunia ketika ini, UPNM wajar dijadikan sebagai sebuah pusat utama dalam menerapkan kefahaman dan pematuhan masyarakat serta pemimpin masa hadapan negara terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa," titah Seri Paduka.

Pada konvokesyen kali ini, seramai 1,490 penuntut berjaya menamatkan pengajian termasuk 11 graduan dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah (PhD), 93 dianugerah Ijazah Sarjana, 986 (Ijazah Sarjana Muda) dan 400 (Diploma) dalam pelbagai bidang.

UPNM turut menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah kepada tiga tokoh iaitu Panglima Angkatan Tentera ke-17, Jeneral (B) Tan Sri Azizan Ariffin, Panglima Angkatan Tentera ke-18, Jeneral (B) Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan bekas Duta Besar Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke Malaysia, Datuk Khalid Ghanim Mohammed Al-Ghaith.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2023 @ 12:44 PM