GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Isu pendapatan rakyat yang rendah boleh diatasi bermula dengan memperkukuhkan sistem pendidikan dan dasar perindustrian negara.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, sistem pendidikan perlu dilihat semula supaya negara dapat melahirkan tenaga buruh yang bijak membuat keputusan serta dasar perindustrian yang menggalakkan persaingan sihat dan adil.

"Umumnya, soal gaji ini berkait rapat tentang daya saing sesebuah ekonomi dan ini memerlukan penyelesaian jangka panjang.

"Ia perlu bermula dengan sistem pendidikan dan dasar perindustrian kerana kita mahu sediakan tenaga buruh berdaya saing serta usahawan inovatif.

"Sudah pasti perlu ditekankan adalah pendidikan serta dasar perindustrian yang dapat memajukan negara sekali gus menarik pelaburan asing langsung yang boleh memberikan pemindahan teknologi berlaku dengan berkesan kepada pekerja tempatan," katanya kepada Harian Metro.

Beliau mengulas iltizam Kerajaan Perpaduan mahu meningkatkan pendapatan rakyat pada tahun kedua pentadbiran mereka tahun depan.

Mengulas lanjut, Mohd Afzanizam berkata, pentadbiran sedia ada sedang berusaha untuk memperbaiki pelbagai masalah struktur ekonomi yang sememangnya memerlukan jangka lebih panjang untuk diselesaikan.

"Sebagai contoh, trend dalam pertumbuhan produktiviti buruh dilihat menurun serta nisbah pelaburan swasta juga merosot daripada 17.3 peratus pada 2017 kepada 15.4 peratus, tahun lalu.

"Disebabkan ini, negara kita dilihat tidak bertumbuh pada kadar potensinya dan perkara ini menjejaskan kadar upah kerana fungsi pengeluaran banyak berpaksikan kos rendah seperti penggunaan buruh yang kurang berkemahiran.

Selain itu, dari segi pencapaian pendidikan pula katanya, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan ke bawah mewakili kira-kira 70 peratus daripada jumlah tenaga buruh Malaysia.

"Sudah pasti ia memerlukan masa untuk direalisasikan kerana ia membabitkan pembinaan kapasiti berpanjangan serta memerlukan suasana ekonomi kompetitif," katanya.

Sementara itu, Timbalan Dekan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia/The Future Research, Profesor Madya Ts Dr Anuar Shah Bali Mahomed pula berpandangan pendapatan rakyat berpotensi dipertingkatkan melalui pelaburan yang dibawa masuk dan peningkatan pengeluaran dalam negara melalui kerjasama antara kerajaan pusat dan negeri.

"Biarpun eksport masih kekal lembab disebabkan kelemahan permintaan luaran berpanjangan, namun pada masa sama sebahagian kesan itu diimbangi kemasukan pelancong asing yang kembali pulih.

"Jadi, sektor pelancongan juga penting diperkasakan dalam membantu menjana pendapatan rakyat Malaysia melalui kesan berganda melalui kemasukan pelancong asing yang dapat merancakkan ekonomi negara dan negeri,"katanya.

Katanya, sektor pelancongan amat penting bagi membantu ekonomi negara dan negeri serta ekonomi setempat termasuk peniaga kecil di sekitar kawasan pelancongan yang bakal menerima limpahan manfaat ekonomi.

"Adanya keperluan memperkenalkan lebih banyak inisiatif bagi membantu sektor pelancongan dengan kerjasama kerajaan negeri antaranya dalam bentuk diskaun lebih menarik, baucar dan rebat untuk penginapan, pakej pelancongan dan sebagainya.

"Selain itu, Kempen Beli Barangan Malaysia 2023 perlu diperluaskan tahun depan dengan mempelbagai insentif lebih menarik sebagai galakan membeli produk dan barangan tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada produk import," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2023 @ 12:20 PM