Faris Fuad

Selayang: Penganggur didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini kerana membunuh wanita warga emas yang juga pemilik rumah sewanya, dua minggu lalu.

Mohamad Amirul Arshad Zainudin, 22, mengangguk faham sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Chai Guan Hock.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh berikutan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Amirul Arshad didakwa membunuh Hong Kee Ing, 70, di parkir kereta di Taman Ehsan, Gombak antara 8.30 malam pada 22 November hingga 9.50 malam pada 23 November lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan tidak kurang 12 sebatan jika disabitkan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nor Hakimi Mohamad Rosedin tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 16 Januari depan untuk sebutan semula kes untuk laporan forensik, kimia dan bedah siasat.

Semalam, media melaporkan lelaki itu dihadapkan ke mahkamah selepas disyaki membunuh seorang warga emas yang ditemukan mati akibat ditikam dalam keretanya.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superitendan Noor Ariffin Mohamad Nasir dipetik berkata, daripada lapan lelaki yang ditahan, seorang didakwa, manakala empat dijadikan saksi pendakwaan sementara suspek lain dibebaskan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2023 @ 12:02 PM
ANGGOTA polis mengiringi Mohamad Amirul Arshad (tengah) ke mahkamah yang menghadapi tuduhan membunuh seorang wanita warga emas di Taman Ehsan Kepong di Mahkamah Selayang. FOTO Hairul Anuar Rahim
ANGGOTA polis mengiringi Mohamad Amirul Arshad (tengah) ke mahkamah yang menghadapi tuduhan membunuh seorang wanita warga emas di Taman Ehsan Kepong di Mahkamah Selayang. FOTO Hairul Anuar Rahim