GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Tiga termasuk seorang wanita direman selama tiga hari bagi membantu siasatan kematian peniaga nasi ekonomi dalam kejadian di sebuah apartment Jalan Ooi Thiam Siew, Taman Continental, Jelutong, di sini, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, V Saravanan berkata, perintah reman itu bermula hari ini sehingga 8 Disember.

"Bagi tangkapan kes bunuh itu, dua lelaki dan seorang wanita direman selama tiga hari sehingga 8 Disember bagi membantu siasatan.

"Kesemua mereka yang berusia antara 29 hingga 42 tahun ditahan di sekitar kawasan Jelutong pada jam 7.30 malam.

"Semua suspek berkawan rapat namun kita belum mengetahui motif sebenar pembunuhan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Semalam Harian Metro melaporkan mengenai penjual nasi ekonomi maut selepas ditikam sebanyak 27 kali di dada, leher dan abdomen di kawasan tempat letak kereta perumahan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2023 @ 11:37 AM