Ahmad Hasbi

Kuala Pilah: Pegawai penjara dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Pilah di sini, hari ini , atas pertuduhan melakukan pecah amanah wang berjumlah RM9,850 milik penghuni Pusat Pemulihan Dadah Jelebu, Mac hingga Mei lalu.

Tertuduh, Hasry Hisyam Hassan, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norma Ismail.

Menurut pertuduhan, tertuduh sebagai penjawat awam iaitu Inspektor Penjara Pusat Pemulihan Dadah Jelebu dan dalam kapasiti itu diamanahkan penguasaan ke atas harta tertentu iaitu wang tunai milik banduan yang dimasukkan ke dalam pusat pemulihan dadah Jelebu telah melakukan pecah amanah jenayah berkaitan harta berjumlah RM9,850.

Kesalahan itu dilakukan antara 30 Mac 2023 hingga 1 Mei 2023 di Pusat Pemulihan Dadah Jelebu.

Berikutan itu, tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih dari 20 tahun dengan sebatan, dan boleh dikenakan denda.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qaiyyum Ramlan mencadangkan jaminan RM6,000.

Bagaimanapun peguam Adi Zulkarnain Zulkaflimemohon jumlah jaminan yang minimum kerana tertuduh perlu menanggung isteri dan dua anak yang masih bersekolah selain mempunyai komitmen bulanan membayar kereta dan serta rumah.

Mahkamah menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes 10 Januari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2023 @ 10:30 AM
HASRY Hisyam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Pilah atas pertuduhan pecah amanah wang banduan bernilai hampir RM10,000 Mac lalu. FOTO Azrul Edham
HASRY Hisyam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Pilah atas pertuduhan pecah amanah wang banduan bernilai hampir RM10,000 Mac lalu. FOTO Azrul Edham