GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Punca kematian kanak-kanak perempuan berusia enam tahun di sebuah flat di Bandar Tun Razak, di sini, Sabtu lalu adalah disebabkan kekurangan nutrisi (malnourished).

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, punca kematian itu diperoleh selepas pihaknya memperoleh keputusan bedah siasat terhadap mangsa.

"Mangsa meninggal dunia disebabkan kekurangan kekurangan nutrisi atau malnourished, sekali gus kami dapati ada unsur pengabaian.

"Setakat ini, tiada tangkapan dibuat," katanya dihubungi, hari ini.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun meninggal dunia dipercayai didera dan diabaikan bapanya dalam kejadian di Bandar Tun Razak, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin dipetik berkata, kejadian berlaku ketika bapanya meninggalkan kanak-kanak perempuan itu dalam bilik untuk membeli makanan jam 11.30 pagi.

Menurutnya, ketika pulang jam 2.30 petang, mangsa ditemukan tidak bermaya dan dibawa ke Hospital Tunku Azizah, di sini, untuk menerima rawatan.

Bagaimanapun, katanya, mangsa disahkan meninggal dunia pada hari sama dan disyaki terdapat unsur penderaan serta pengabaian oleh penjaga.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2023 @ 5:04 PM