LIM menjawab soalan media ketika ditemui pada Majlis Apresiasi Kecemerlangan  SMK St. Xavier, hari ini. FOTO Mikail Ong
LIM menjawab soalan media ketika ditemui pada Majlis Apresiasi Kecemerlangan SMK St. Xavier, hari ini. FOTO Mikail Ong
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Kesemua pelajar lelaki orang kurang upaya (OKU) yang disyaki menjadi mangsa cabul di asrama sebuah sekolah menengah di Kepala Batas di sini, sedang menjalani khidmat bimbingan dan kaunseling.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, pada masa sama, rondaan ketat di kawasan sekolah dan asrama dilakukan oleh warden bagi memastikan kejadian tidak berulang.

"Kita akan ikut semua garis panduan dan kesemua mangsa sudah diberi khidmat bimbingan kaunseling.

"Kaunseling amat mustahak kerana semua pelajar itu adalah berkeperluan khas, jadi mereka perlukan lebih perhatian.

"Kesemua mangsa masih berada di sekolah (asrama) dan rondaan ketat oleh warden dilakukan bagi memastikan kejadian tidak berulang," katanya ketika ditemui pada Majlis Apresiasi Kecemerlangan 2023/2024 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Xavier, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri (Sektor Pengurusan Sekolah) Wan Sajiri Wan Hassan.

Lim berkata, kes berkenaan masih dalam siasatan polis.

Katanya, adalah menjadi keutamaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memastikan kesemua mangsa terjaga.

"Kita juga sudah mengambil kaunselor dari sekolah lain bagi bantu dan bimbing mangsa, pada masa yang sama biar PDRM jalankan siasatan," katanya.

Terdahulu Harian Metro melaporkan polis menahan pelajar Tingkatan Satu bagi membantu siasatan kejadian mencabul 14 pelajar lelaki OKU berusia antara 13 hingga 14 tahun di asrama sekolah menengah berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2023 @ 5:25 PM