MOHD Sharizal Abdul Aziz menerima Anugerah Khas Orang Kurang Upaya (OKU) sempena Hari OKU Kebangsaan semalam. FOTO Bernama
MOHD Sharizal Abdul Aziz menerima Anugerah Khas Orang Kurang Upaya (OKU) sempena Hari OKU Kebangsaan semalam. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuching: Sewaktu ditimpa kemalangan di tempat kerja pada 16 tahun lalu yang menyebabkannya lumpuh separuh badan, Dr Mohd Sharizal Abdul Aziz yang pada ketika itu berusia 24 tahun berasakan dunianya gelap tanpa arah tujuan.

Namun, berkat doa dan sokongan daripada ahli keluarga, beliau perlahan-lahan menyedari ujian yang ditimpa itu seolah-olah memberinya 'rezeki' untuk menabur bakti kepada golongan orang kurang upaya (OKU) dengan menjadi 'suara' kepada komuniti berkenaan agar terus bangkit dan menyumbang kepada negara.

"Bila menjadi seorang OKU ini, niat saya hanya untuk membantu sahabat OKU yang lain serta organisasi OKU, di samping menjadi contoh kepada komuniti ini untuk bangkit serta membina semula hidup selepas ditimpa bencana," katanya yang berkhidmat sebagai pensyarah di Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

Sejak bergelar OKU, anak jati Pulau Pinang yang kini berusia 40 tahun itu giat menyumbang kepada pembangunan dan pemerkasaan OKU khususnya dalam bidang sukan renang serta pendidikan sekali gus, melayakkan beliau menerima Anugerah Khas OKU sempena Hari OKU Kebangsaan di sini, semalam.

"Selepas kemalangan yang menyebabkan lumpuh separuh badan itu dalam setahun saya terlantar atas katil sahaja, kemudian saya belajar untuk menggunakan kerusi roda dalam beberapa tahun serta memasuki kelas rehabilitasi dan terapi...dari situ, saya belajar untuk rehabilitasi melalui aktiviti dalam air seperti berenang.

"Akhirnya saya mengambil keputusan untuk menceburi bidang sukan renang OKU dengan mewakili negeri bagi acara sukan renang.

"Sekarang, saya sudah boleh berjalan perlahan-lahan dengan menggunakan tongkat," katanya yang kini menyandang jawatan Timbalan Presiden Persatuan Renang Orang Kurang Upaya Pulau Pinang.

Bapa kepada tiga orang anak itu berharap dengan pengiktirafan anugerah berkenaan, lebih ramai golongan OKU akan mengambil iktibar daripada kisahnya dan memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa komuniti sepertinya juga layak menikmati kehidupan seperti orang lain seperti peluang pekerjaan dan pendidikan.

"Saya mahu membantu lebih ramai kawan-kawan OKU keluar daripada perasaan malu atau hilang punca dan arah hidup agar mereka teruskan hidup menjadi cemerlang dan sumbangkan sesuatu kepada masyarakat," katanya yang turut aktif dalam pertandingan reka cipta dan inovasi alat untuk OKU di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Beliau turut menasihatkan OKU yang tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk membuang stigma terhadap OKU dan berdaftar bagi memastikan mereka mendapat kemudahan yang disediakan pihak kerajaan dan swasta.

Selain Anugerah Khas OKU, majlis perasmian Hari OKU Kebangsaan yang diadakan di bandar raya ini malam tadi turut menyaksikan penyampaian enam lagi anugerah oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri iaitu Anugerah Ibu Bapa Mithali OKU, Anugerah Khas Pusat Jagaan OKU (Swasta), Anugerah Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK) OKU Cemerlang, Anugerah Khas Job Coach, Anugerah Pekerja OKU Madani dan Anugerah Majikan Prihatin (Swasta).

Hari OKU yang disambut bermula pada 1994 bertujuan membuktikan bahawa komuniti OKU di negara ini juga tidak ketinggalan daripada mendapat pengiktirafan daripada pihak kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2023 @ 3:56 PM