SAIFUDDIN (tengah) bersama Timbalannya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah (tiga kiri) bergambar bersama Ketua Setiuasah KDN Datuk Ruji Ubi (tiga kanan) dan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain (dua kiri) ketika perhimpunan bulanan KDN. FOTO Hazreen Mohamad
SAIFUDDIN (tengah) bersama Timbalannya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah (tiga kiri) bergambar bersama Ketua Setiuasah KDN Datuk Ruji Ubi (tiga kanan) dan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain (dua kiri) ketika perhimpunan bulanan KDN. FOTO Hazreen Mohamad
Samadi Ahmad


Putrajaya: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mempertahan tindakan kakitangan imigresen yang mempersoalkan tindakan individu tidak fasih bahasa Melayu (BM) ketika ingin memperbaharui pasport di Kompleks Pusat Transformasi Bandar (UTC) Johor, baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail betkata, tindakan diambil pegawai itu berkemungkinan wujudnya unsur syak wasangka status kewarganegaraan terhadap individu berkenaan apabila tidak fasih berbahasa Melayu.

Menurutnya, sebelum ini semasa KDN membuat kajian tentang warga negara lain, penguasaan bahasa juga syarat kewarganegaraan bagi beberapa negara termaju dunia seperti Singapura, United Kingdom (UK) dan sekiranya tidak boleh faham bahasa tempatan tidak layak mendapat status warga negara itu.

"Kewajipan seseorang warga untuk kuasai BM itu, tak boleh kita kompromi… sebab itu perlu faham bahasa (Melayu) supaya tidak timbul syak wasangka.

"Sebagai contoh sebelum ini pernah berlaku syak wasangka terhadap individu kerana mirip muka tidak menyamai ibu bapanya, bagaimanapun selepas siasatan mendapati berlaku pemalsuan dokumen bagi mendapatkan kad pengenalan diri," katanya pada sidang media selepas sambutan setahun dan perhimpunan bulanan KDN di sini, hari ini.

Baru-baru ini tular di media sosial seorang wanita berkongsi pengalaman memperbaharui pasport bersama anaknya di UTC Johor.

Wanita itu mendakwa diherdik seorang kakitangan lelaki di pejabat imigresen kerana tidak fasih berbahasa Melayu ketika mahu memperbaharui pasport anak perempuannya.

Dalam perkembangan lain, ketika menyampaikan ucapan Saifuddin menggesa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) memantau serta meneliti aktiviti pertubuhan termasuk status kewangan secara berkala, susulan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membeku akaun Aman Palestin, baru-baru ini.

Katanya pemantauan itu perlu dilakukan bagi memastikan isu sama tidak berulang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2023 @ 3:54 PM