Datuk Seri Ahmad Maslan. FOTO Arkib NSTP/ ROHANIS SHUKRI
Datuk Seri Ahmad Maslan. FOTO Arkib NSTP/ ROHANIS SHUKRI
Mohamed Farid Noh


Pontian: Kerajaan Perpaduan diminta mengkaji semula tawaran yang dibuat pada pilihan raya selepas ini, berikutan kekalahan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, semalam.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata antara punca utama kekalahan Barisan Nasional (BN) pada PRK Kemaman mungkin disebabkan tawaran dibuat kerajaan negeri Terengganu yang ditadbir PAS lebih menarik berbanding tawaran oleh Kerajaan Pusat.

"Apakah tawaran yang diberi Kerajaan Terengganu itu, kita perlu buat analisis secara terperinci dan mendalam dahulu.

"Calon Barisan Nasional (BN) juga buat tawaran lima perkara, tetapi kita kena banding dengan tawaran dibuat PAS apabila memerintah Terengganu pada 2018 dan disambung pada tahun ini.

"Oleh itu, penganalisis politik perlu mengkaji dan lihat dahulu tawaran dan pelaksanaan tawaran Kerajaan Terengganu dalam tempoh berkenaan sebelum membuat kesimpulan rakyat Terengganu menolak BN sepenuhnya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada pertemuan di Bangunan UMNO di sini, hari ini.

Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS dan Menteri Besar Terengganu dilaporkan menang pada PRK Kemaman, semalam.

Calon BN, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor tewas kepada Dr Ahmad Samsuridengan majoriti 37,220 undi.

Dalam pada itu, Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan I, berkata BN perlu mengakui dengan rendah diri atau tawaduk berhubung kekalahan semalam kepada calon PASK Terengganu semalam.

"Kerajaan Perpaduan dan UMNO tidak perlu rasa kecewa apabila tewas PRK Kemaman.

"Namun tawaran kepada rakyat empat negeri jajaran Melayu membabitkan Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis itu mesti lebih berkesan dalam menarik undi rakyat negeri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2023 @ 4:42 PM