GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Sebanyak dua laporan diterima berhubung dakwaan penyelewengan wang sumbangan awam membabitkan seorang aktivis berjumlah RM100,000.

Ketua Polis Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Setakat ini ada dua laporan yang diterima dan hanya keterangan pengadu sahaja yang baru diambil," katanya kepada Harian Metro ketika dihubungi hari ini.

Semalam Harian Metro melaporkan, seorang aktivis didakwa menyeleweng dana sumbangan dan pengurusan kematian membabitkan wang lebih RM100,000.

Peguam Hafiz Norkhan berkata, aktivis itu didakwa menipu beberapa individu termasuk sumbangan orang ramai kepada keluarga arwah Dea Maisarah berjumlah lebih RM53,000.

Menurutnya, wang itu diberikan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dikendalikan oleh aktivis itu.

Katanya, aktivis berkenaan hanya membuat pembayaran berjumlah RM20,000 kepada pihak peguam manakala bapa arwah Dea Maisarah, Bada Hussein menerima RM5,000.

Terdahulu, media melaporkan Dea Maisarah, 10, dibawa ke Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR) bersama bapanya pada Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan.

Kes itu tular di media sosial apabila timbul dakwaan kanak-kanak berkenaan lewat diberi rawatan dengan terpaksa menunggu lebih 40 minit sebelum mengalami sesak nafas selain terpaksa diikat kerana meronta.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Disember 2023 @ 12:47 PM