PEGUAM, Hafiz Norkhan (depan kiri) bersama bapa Dea Maisarah, Bada Hussein (depan kanan) ketika ditemui selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
PEGUAM, Hafiz Norkhan (depan kiri) bersama bapa Dea Maisarah, Bada Hussein (depan kanan) ketika ditemui selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Seorang aktivis didakwa menyeleweng dana sumbangan dan pengurusan kematian membabitkan wang lebih RM100,000.

Peguam Hafiz Norkhan berkata, aktivis itu didakwa menipu beberapa individu temasuk sumbangan orang ramai kepada keluarga arwah Dea Maisarah berjumlah lebih RM53,000.

Menurutnya, wang itu diberikan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dikendalikan oleh aktivis itu.

"Apa yang menjadi persoalan dan pertikaian adalah bayaran dibuat oleh pihak berkenaan (aktivis itu) termasuk bayaran peguam iaitu hanya RM20,000, manakala Bada Hussein iaitu bapa kepada arwah Dea Maisarah pula menerima RM5,000.

"Di mana wang baki daripada RM53,000 dana berkenaan tidak pernah dijawab dan dijelaskan secara rasmi oleh individu berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, di sini, hari ini.

Hafiz berkata, beliau turut membuat laporan polis terhadap tindakan aktivis terbabit yang berdiam diri selepas gagal menjawab segala persoalan yang timbul.

"Kami sudah menyerahkan kepada pihak polis termasuk bukti transaksi dibuat oleh orang awam yang menunjukkan adanya penyelewengan dalam kes ini.

"Apa yang penting, kami bukan mahu mendesak polis melakukan tangkapan, sebaliknya menuntut keadilan.

"Sebelum ini, rakan aktivis individu terbabit iaitu pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ), Wan Chai turut menuntut penjelasan keberadaan wang RM28,000 yang dikutip NGO itu namun gagal mendapat sebarang jawapan," katanya.

Beliau berkata, selain kes Dea Maisarah, aktivis terbabit juga turut disyaki terbabit dalam beberapa kes penyelewengan lain seperti kes pembelaan guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) di Selangor dan beberapa kes lain.

"Pada masa ini, pihak polis menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) sedang menjalankan siasatan kes ini di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan penipuan.

"Justeru, kita nasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika berhadapan dengan sebarang situasi kutipan sumbangan seperti ini," katanya.

Sementara itu, Bada berkata, beliau tampil membuat laporan untuk meminta polis menjalankan siasatan lanjut terhadap aktivis berkenaan.

"Ini kali kedua saya membuat laporan polis berhubung penyelewengan kutipan sumbangan pengurusan kes kematian Dea Maisarah," katanya.

Terdahulu, media melaporkan Dea Maisarah, 10, dibawa ke Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR) bersama bapanya pada Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan.

Kes itu tular di media sosial apabila timbul dakwaan kanak-kanak berkenaan lewat diberi rawatan dengan terpaksa menunggu lebih 40 minit sebelum mengalami sesak nafas selain terpaksa diikat kerana meronta.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2023 @ 7:13 PM