AMBULANS yang dipandu tanpa perlindungan insuran serta Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan selama 13 tahun. FOTO FB JPJ Perak
AMBULANS yang dipandu tanpa perlindungan insuran serta Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan selama 13 tahun. FOTO FB JPJ Perak
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Sebuah ambulans milik agensi perkhidmatan penyelamat kecemasan disita oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana tidak mempunyai perlindungan insurans dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan selama 13 tahun.

JPJ Perak dalam kenyataan berkata, ambulans berkenaan ditahan ketika tugas rondaan yang dibuat anggota penguat kuasa dari Unit FALCON Penguatkuasaan Bermotosikal (UPB) JPJ Perak di Jalan Tun Abd Razak, di sini, semalam.

Menurutnya, hasil semakan mendapati perlindungan insurans dan LKM atau cukai jalan ambulans itu sudah tamat tempoh sejak 5 Mac 2010.

"Ketika penahanan dan pemeriksaan dilakukan, terdapat seorang pesakit di dalam ambulans berkenaan untuk dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini.

"Anggota JPJ mengarahkan pemandu ambulans menghantar pesakit ke hospital terlebih dahulu sebelum membawa kenderaan itu ke ibu pejabat JPJ Negeri Perak untuk pemeriksaan lanjut," kata kenyataan dalam kenyataan di FB JPJ malam ini.

Menurutnya, kenderaan itu disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala notis JPJ(P) 22 bagi dua kesalahan itu turut dikeluarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2023 @ 10:33 PM