Zatul Iffah Zolkiply


Chukai: Warga Petronas di semua peringkat diseru mengekalkan prestasi cemerlang dan integriti dalam usaha menarik lebih ramai pelabur pada masa akan datang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kecemerlangan syarikat itu terbukti apabila sering menjadi perhatian di peringkat antarabangsa termasuk keyakinan Arab Saudi melabur di negara ini.

"Saya berbangga kerana Petronas dapat pertahankan integriti yang sangat tinggi dan saya mengesahkan apa yang diketahui selama ini mengenai kesungguhan tenaga profesional dan staf di semua peringkat.

"Tak mungkin kita capai prestasi sebaik ini kalau pengurusan dan tatakelolanya tidak baik dan cemerlang, " katanya pada Sesi Ramah Mesra Bersama Warga Kerja Petronas Pantai Timur di Kompleks Petronas Pantai Timur, Kerteh di sini hari ini.

Anwar berkata, bukan semua syarikat di dunia mampu mencapai kemajuan sekiranya pengurusannya lemah, wujud gejala rasuah dan penyelewengan.

"Tetapi sejarah kita dari awal Petronas mencatat bukan sahaja kemajuan dan pulangan kepada syarikat serta negara kerana pulangan dana daripada Petronas kepada negara ini, itu sudah mencecah sampai ratusan bilion ringgit.

"Jadi apa pengajaran daripada Petronas iaitu negara kita ini mampu diangkat sebagai negara hebat di rantau dengan syarat ada pimpinan politik, pengurusan seperti di Petronas, penjawat awam dan dasar serta pengurusan yang jelas.

"(Sebab itu, saya pesan kepada Taufik (Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz) dalam semua latihan Petronas mesti disemai nilai, akhlak dan integriti (untuk kekalkan imej Petronas)," katanya.

ANWAR berucap pada majlis Sesi Ramah Mesra Warga Petronas di Kompleks Petronas  Pantai Timur, Kerteh, hari ini. FOTO Ghazali Kori
ANWAR berucap pada majlis Sesi Ramah Mesra Warga Petronas di Kompleks Petronas Pantai Timur, Kerteh, hari ini. FOTO Ghazali Kori

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2023 @ 9:59 PM