Anwar Ibrahim.
Anwar Ibrahim.
Latifah Arifin


Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji inisiatif The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) mengedarkan naskhah tiga akhbar terbitan syarikat itu secara percuma di Parlimen.

Edaran dilakukan sejak semalam hingga berakhirnya persidangan Dewan Negara pada 14 Disember.

Beliau yang turut menerima naskhah Berita Harian (BH), Harian Metro (HM) dan New Straits Times (NST) menitipkan penghargaan dan melihatnya sebagai antara usaha baik dalam meningkatkan amalan membaca.

"Terima kasih. Ya, ia sangat baik untuk pupuk budaya membaca," katanya di Parlimen, hari ini.

Terdahulu, beliau membentangkan Bajet 2024 untuk bacaan kali kedua di Dewan Negara.

Sementara itu, Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) berkata, inisiatif itu amat bermanfaat terutama untuk Ahli Parlimen yang sememangnya menjadikan akhbar terbitan NSTP sebagai rujukan bagi mengetahui berita semasa.

"Saya lihat inisiatif ini bagus, apatah lagi apabila diberikan secara percuma. Memang ada disediakan di 'lounge' Parlimen semua akhbar pelbagai bahasa , tetapi hanya satu naskhah untuk setiap terbitan.

"Saya sendiri melanggan BH dan NST secara digital, jadi setiap malam, jam 12.05 malam, saya akan baca secara digital dan akan baca semua halaman (akhbar) untuk tahu berita semasa. Hari ini dapat versi fizikal, lebih baik," katanya.

Seorang lagi Ahli Parlimen, R Yuneswaran (PH-Segamat) berkata, inisiatif bagi menggalakkan semula pembacaan akhbar dalam kalangan masyarakat wajar diteruskan.

Katanya, ini mengambil kira minat membaca dalam kalangan masyarakat yang semakin merosot.

"Lihatlah sekarang, ramai yang tidak lagi membaca akhbar, sebaliknya mereka gemar dapatkan maklumat atau layari sosial media seperti Facebook dan TikTok.

"Saya kira usaha memberikan akhbar secara percuma seperti ini dapat memupuk minat masyarakat untuk mendapatkan bahan bacaan formal, misalnya dengan membaca akhbar NSTP," katanya.

Hari ini, NSTP mengedarkan 300 naskhah akhbar BH, NST dan HM secara percuma di Parlimen di tiga lokasi utama iaitu lobi Parlimen, lounge Ahli Dewan Rakyat dan lounge Ahli Dewan Negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2023 @ 5:07 PM