ABDUL Wahab. FOTO BERNAMA
ABDUL Wahab. FOTO BERNAMA
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Penolong Pegawai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) Abdul Wahab Abdul Kadir Jailani mengesahkan identiti 'Mr H' kepada polis, hari ini.

Peguamnya, Faisal Rahman berkata, Abdul Wahab memberi keterangan kepada pihak polis bermula kira-kira 11 pagi sehingga 2.30 petang tadi untuk membantu siasatan.

"Kita mengesahkan orang sama (Mr H) iaitu seorang pegawai di J-Kom, pada saya ianya sudah selesai, jadi kita serahkan kepada polis.

"Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, Abdul Wahab cuma perlu tampil memberi pengesahan identiti Mr H," katanya ketika ditemui, di sini.

Katanya, kesihatan anak guamnya itu juga masih tidak stabil dan bergantung kepada ubat.

"Sepatutnya Abdul Wahab dijangka membuat laporan polis berkenaan Mr H pada petang ini, namun ditunda kemungkinan esok berikutan keadaan kesihatannya.

"Abdul Wahab juga memaklumkan tidak bersedia untuk bertemu wartawan, namun kita memberi komitmen untuk menyelesaikan segera kes ini," katanya.

Sebelum ini, Abdul Wahab dilaporkan mengalami kemurungan melampau dan menerima rawatan.

Susulan itu, individu berkenaan terpaksa menjadualkan semula pertemuannya dengan pihak polis bagi memberi keterangan.

Pada 17 November lalu, Abdul Wahab dalam satu sidang media di sebuah hotel di Bangi mendedahkan tindakannya merakam perbualan berunsur lucah bersama Mohammad Agus didalangi seorang individu dikenali sebagai Mr H.

Susulan kenyataannya itu, polis memanggil individu dipercayai Mr H bagi dirakam keterangan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2023 @ 4:49 PM