TANGKAP layar persembahan artis dari Thailand, Thungpang Chanoknan dan penari yang berpakaian mencolok mata ketika konsert di Kampung Balai, Bachok. FOTO ihsan pembaca
TANGKAP layar persembahan artis dari Thailand, Thungpang Chanoknan dan penari yang berpakaian mencolok mata ketika konsert di Kampung Balai, Bachok. FOTO ihsan pembaca
Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Tindakan lanjut terhadap penganjur berhubung pelanggaran syarat konsert Pesta Loy Krathong di Bachok Jumaat lalu, diserahkan kepada Majlis Daerah Bachok (MDB).

Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan Hilmi Abdullah berkata, pihaknya masih menunggu keputusan yang dibuat Ketua Jajahan Majlis Daerah Bachok.

"Sebenarnya pelanggaran syarat yang berlaku bukanlah isu besar memandangkan acara berkenaan mempunyai permit.

"Pelanggaran itu hanya berlaku ketika penganjuran pesta berkenaan berlangsung, namun ia diperbesarkan oleh pihak tertentu.

"Bagaimanapun, sama ada penganjur pesta berkenaan akan dikenakan denda atau amaran, ia terserah kepada pegawai pelesen iaitu Ketua Jajahan Majlis Daerah Bachok. Kita menerima segala keputusan yang diambil," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Exco di Kota Darulnaim di sini, hari ini.

Semalam, kerajaan negeri menjelaskan konsert di Pesta Loy Krathong yang berlangsung Jumaat lalu dengan menampilkan penyanyi dari Thailand, mempunyai permit.

Bagaimanapun, pihak penganjur gagal mematuhi sebahagian peraturan yang ditetapkan.

Antara kesalahan yang dikenal pasti adalah menampilkan penyanyi dari Thailand yang tidak mematuhi etika pemakaian selain membenarkan pengunjung Muslim ke konsert berkenaan.

Penganjur konsert di Wat Pathumviharn, Kampung Balai, itu turut menegaskan perayaan utama kaum Siam itu sudah diadakan sejak 29 tahun lalu dan berharap pihak lain tidak mengeruhkan keadaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2023 @ 4:23 PM