GAMBAR hiasan. FOTO Arkib BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib BERNAMA
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Kuala Lumpur: Sebanyak 399 laporan polis diterima berkaitan penipuan pakej umrah kendalian sebuah syarikat pengendali umrah membabitkan kerugian berjumlah RM14.2 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, laporan itu membabitkan 1,614 jemaah sejak Januari tahun ini sehingga kelmarin.

Menurutnya, siasatan mendapati syarikat itu ditubuhkan suami isteri yang bertindak sebagai pengarah pada 2015 mengalami masalah kewangan susulan penularan Covid-19.

"Seperti dimaklumkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) tahun ini kerajaan Arab Saudi menaikkan kos penginapan, pengangkutan, makan, minum dan ditambah dengan kejatuhan mata wang menjadikan harga pakej yang ditawarkan tidak relevan.

"Siasatan mendapati, bagi menampung kekurangan kos berkenaan syarikat menggunakan wang daripada kumpulan jemaah lain untuk menghantar kumpulan jemaah terdahulu.

"Contohnya bagi menampung kos jemaah kumpulan A, mereka gunakan wang daripada jemaah kumpulan B dan seterusnya," katanya pada sidang media di pejabat JSJK Bukit Aman, di sini, hari ini.

Menurutnya, perkara itu dipercayai dilakukan syarikat terbabit berulang kali hingga menimbulkan pelbagai isu bertindih membabitkan pelbagai pihak.

Katanya, pihak syarikat ada memberi pilihan kepada jemaah yang terjejas sama ada mahu menunggu giliran seterusnya atau memulangkan kembali wang yang sudah dibayar membabitkan pakej bernilai RM5,000 hingga RM11,000 seorang.

"Kebanyakan jemaah pilih untuk kembalikan wang dan syarikat memberi cek tarikh hadapan, bagaimanapun bila tiba tarikh berkenaan, cek ditolak pihak bank atas alasan syarikat membatalkan cek.

"Bagi jemaah yang memilih untuk tunggu giliran pula gagal diterbangkan bila tiba tarikh dijanjikan atas pelbagai alasan seperti penerbangan yang ditempah tiada sijil 'foreign air operators' dari kerajaan Arab Saudi," katanya.

Ramli berkata, setakat ini 21 kertas siasatan dibuka dan akan dilengkapkan secepat mungkin, namun memakan sedikit masa berikutan jumlah mangsa yang ramai.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, namun tindakan lanjut akan ditentukan oleh Jabatan Peguam Negara kerana banyak isu bertindih.

"Untuk rekod, hasil siasatan oleh Motac di bawah Seksyen 8(1)(d) Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482), syarikat ini telah dijatuhkan hukuman penggantungan lesen perniagaan umrah mulai 10 Julai sehingga 9 Januari 2024.

"Selain itu, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) juga menyenarai hitamkan syarikat ini dan kedua-dua pengarahnya pada 5 Oktober lalu di bawah Sekatan Pentadbiran (Fungsi Suruhanjaya) mengikut Seksyen 17 Akta SSM 2001," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2023 @ 3:11 PM