PUTERA Albert II ketika temubual eksklusif bersama Bernama. FOTO Bernama
PUTERA Albert II ketika temubual eksklusif bersama Bernama. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Monaco bersedia untuk menjalin kerjasama dengan Malaysia dalam lebih banyak bidang yang boleh memanfaatkan kedua-dua negara pada masa akan datang selaras dengan pembukaan Pejabat Konsulat Kehormatnya di sini.

Putera Albert II bertitah terdapat pelbagai peluang untuk diteroka oleh kedua-dua negara yang mempunyai kepentingan bersama seperti industri pelancongan dan pendidikan selain pembangunan lestari.

"Mengapa tidak diteroka bidang yang sebelum ini tidak pernah kita fikirkan. "Begitu juga dengan pertukaran budaya dan peluang pendidikan antara golongan belia kedua-dua negara.

"Jadi kita perlu meneliti perkara ini lebih mendalam dan benar-benar mengenal pasti cara terbaik untuk menjalin kerjasama yang akan memanfaatkan kedua-dua negara," titah baginda dalam temu bual eksklusif dengan Bernama hari ini.

Putera Albert dalam rangka lawatan negara sulung baginda ke Malaysia, yang bermula Ahad lalu dan berakhir esok.

Ditanya mengenai kemungkinan ada sebarang projek alam sekitar di Malaysia di bawah Yayasan Monaco Putera Albert II, baginda bertitah negara itu akan menjalin kerjasama dengan Malaysia bagi melindungi spesies harimau dan gajah di negara ini melalui yayasan itu.

"Bagaimanapun, beta yakin ada bidang lain (untuk kerjasama) kemungkinan lebih kepada persekitaran marin dan bidang berbeza seperti persisiran pantai.

"Jadi itu juga boleh menjadi sesuatu yang boleh kita lihat, jadi kami sangat terbuka kepada cadangan dan idea yang berbeza serta mengalu-alukan sebarang pilihan," titah baginda.

Yayasan Monaco Putera Albert II ditubuhkan oleh baginda pada 2006, khusus untuk melindungi alam sekitar dan menggalakkan pembangunan mampan di peringkat tempatan dan global.

Pada 25 November, Kementerian Luar dalam kenyataan antara lain berkata Malaysia berhasrat menjalin kerjasama dengan Yayasan Monaco Putera Albert II.

Sementara itu, mengenai lawatan negara sulung baginda, Putera Albert II bertitah lawatan itu adalah detik yang bermakna buat baginda dan delegasi atas sambutan yang diberikan terutama oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Hari ini kami melawat pusat konservasi harimau dan juga gajah. Ia benar-benar mempersonakan, hebat dan menarik.

"Dan (beta) juga melihat bagaimana yayasan beta boleh membantu dari segi melindungi spesies haiwan ini bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di Asia," titah baginda.

Terdahulu, Putera Albert II dan Al-Sultan Abdullah melawat Pusat Konservasi Harimau Malaya dan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, di Lanchang, Pahang sebagai sebahagian daripada lawatan negara sulung baginda ke Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2023 @ 1:38 AM