Anggota bomba bertungkus-lumus memadam kebakaran gudang kilang kopi di kawasan perindustrian Taman Teknologi Cheng sejak malam tadi. FOTO Ihsan JBPM Melaka
Anggota bomba bertungkus-lumus memadam kebakaran gudang kilang kopi di kawasan perindustrian Taman Teknologi Cheng sejak malam tadi. FOTO Ihsan JBPM Melaka
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Gudang sebuah syarikat kopi tempatan musnah dalam kebakaran di Taman Teknologi Cheng (TTC), di sini, malam tadi.

Difahamkan, gudang satu tingkat setengah berkenaan dijadikan tempat simpanan kotak dan plastik bagi pembungkusan produk kopi terbabit.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheng Mohd Khairul Nizam Mohamad Anuar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran pada 9.59 malam.

Menurutnya, seramai 39 anggota termasuk Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) terbabit dalam operasi pemadaman.

"Kebakaran membabitkan keseluruhan gudang berkeluasan 30 meter x 70 meter yang terbakar 90 peratus, namun ia tidak beroperasi ketika kejadian.

"Operasi pemadaman turut dibantu anggota dari BBP Melaka Tengah, BBP Tangga Batu dan BBP Bukit Katil," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, setakat ini punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 November 2023 @ 10:27 AM