PENYOKONG PAS. FOTO arkib NSTP
PENYOKONG PAS. FOTO arkib NSTP
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Pas membayangkan mempunyai kekuatan untuk mentadbir negara selepas Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Bekas Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa berkata, organisasi Pas yang kuat dan tersusun serta mengutamakan perjuangan Islam serta Melayu menyebabkan parti itu menjadi pilihan rakyat untuk mentadbir negara.

Katanya, ini kerana Umno semakin tidak mendapat sokongan rakyat disebabkan sikap ego pemimpin utama parti itu.

"Keegoan beberapa pemimpin tertinggi Umno yang meminggirkan usaha penyatuan ummah menyebabkan parti itu ditolak masyarakat Islam dan Melayu.

"Ketika Umno bersama Pas dalam Muafakat Nasional (MN), gabungan parti Melayu dan Islam itu berjaya memenangi beberapa kerusi pada Pilihan Raya Kecil (PRK)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah di UDM Bukit Mentok, Chukai, Kemaman, malam kelmarin.

Mengulas lanjut, Annuar yang juga Timbalan Pengarah Jentera Pilihan Raya Pas berkata, Umno akan ditolak ketua cawangan dan ahli parti itu sendiri pada PRU akan datang.

"Kita akui Umno berjaya memenangi 30 kerusi pada PRU lalu, tetapi kerusi dimenangi parti itu adalah di kawasan bukan Melayu.

"Umno kini diibaratkan bongkah air batu yang terkena cahaya mata hari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2023 @ 1:55 PM