BAU  Wong Bau Ek (kiri) dipilih sebagai Ketua Pembangkang bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hari ini. FOTO Noorazura Abdul Rahman
BAU Wong Bau Ek (kiri) dipilih sebagai Ketua Pembangkang bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hari ini. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sidam, Bau Wong Bau Ek dipilih sebagai Ketua Pembangkang bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah berkuat kuasa hari ini.

Perkara itu diumumkan Speaker DUN Kedah, Zubir Ahmad pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama DUN Kedah ke-15 di Wisma Darul Aman di sini.

Bau Wong, 56, dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggantikan bekas ADUN Suka Menanti, Datuk Zamri Yusuf yang menyandang jawatan itu sebelum ini.

Beliau antara tiga ADUN Pakatan Harapan (PH) yang memenangi tiga kerusi dari 33 kerusi DUN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah pada Ogos lalu.

Beliau menang dengan majoriti 954 selepas mendapat 21,859 undi, manakala calon Perikatan Nasional (PN), Juliana Abdul Ghani mendapat 20,905 undi.

Bau Wong yang berpengalaman luas dalam bidang politik sebelum ini pernah bertugas sebagai pegawai khas kepada Ahli Parlimen Sungai Petani, Tan Sri Johari Abdul sejak 2018.

Beliau turut menjawat jawatan sama dan berkhidmat kepada Dr Mohammed Taufiq Johari yang menang kerusi parlimen itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2023 @ 10:50 AM