Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain. FOTO Arkib NSTP
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain. FOTO Arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dilantik sebagai pegawai penyelia akan dikenakan tindakan sekiranya gagal menyelia anggota masing-masing.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, tindakan itu susulan arahannya supaya penguatkuasaan Peraturan 3C Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 dilaksanakan secara menyeluruh pada 26 Ogos lalu.

"Arahan ini akan dikuatkuasakan sepenuhnya mulai 26 November ini selepas tamat tempoh tiga bulan dari tarikh arahan dikeluarkan ke atas sebarang kegagalan pematuhan berdasarkan peraturan ini.

"Jangan kita teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pegawai penyelia yang didapati gagal dalam penyeliaan.

"Usaha ini demi memastikan keutuhan dan integriti pegawai polis dapat ditingkatkan, sekaligus memelihara imej serta nama baik pasukan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengiktirafan Tolak Rasuah dan Pelancaran Peraturan 3C Sempena Sambutan Bulan Integriti 2023 di Maktab PDRM di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, warga PDRM sentiasa terdedah dengan pelbagai tuduhan dan tohmahan yang mencabar kredibiliti pasukan.

Katanya, begitu juga dengan penularan berita tidak sahih yang dikongsi di media sosial mengenai pelanggaran integriti oleh warga PDRM dan dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Bagi menangani isu berkaitan pelanggaran integriti dan persepsi negatif masyarakat, katanya, ketegasan dalam pemantauan dan penyeliaan menggunakan kaedah 'close monitoring' terhadap warga pasukan adalah pilihan terbaik.

"Saya mengingatkan kepada semua ketua jabatan, pegawai pemerintah dan penyelia supaya memainkan peranan masing-masing menjalankan kawalan serta pemantauan ke ataspegawai dan anggota yang diselia.

"Ketua jabatan, pegawai pemerintah dan penyelia perlu

bertanggungjawab serta cakna terhadap segala tingkah laku pegawai bawahan masing-masing dengan sering membuat perjumpaan, memberi teguran dan nasihat serta mengambil tindakan sewajarnya jika perlu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2023 @ 4:49 PM