Shah Alam: Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menolak kenderaan yang diberikan kepada beliau oleh kerajaan negeri.
Ini kerana, katanya, ia bukan keutamaan beliau ketika ini dan mengucapkan terima kasih kepada Datuk Menteri Besar yang menyediakan kemudahan itu.
"Saya membuat keputusan untuk tidak menerima kenderaan ketua pembangkang dan saya sudah menyerahkan balik kepada kerajaan negeri.
"Apa yang saya perlukan adalah kemudahan di pejabat ketua pembangkang seperti mesin fotostat, mesin pencetak dan komputer.
"Ini dapat membantu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) untuk berfungsi dengan lebih efektif sebagai blok semak dan imbang," katanya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor, di sini, hari ini.
Selain itu, Mohamed Azmin memohon kerajaan negeri supaya menyediakan peruntukan bagi melantik penyelidik bagi membantu Adun mendapatkan data dan fakta tepat.
"Ini kerana sebahagian besar mereka adalah Adun yang baru dipilih sama ada di sebelah kerajaan atau pembangkang.
"Ada baiknya Dewan diberikan sokongan dengan peruntukan yang lebih supaya kita dapat melantik lebih ramai penyelidik untuk membantu Adun melakukan kajian supaya perbahasan mereka ini dapat dimanfaatkan oleh Dewan Undangan Negeri," katanya.