Kuala Lumpur: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah didalangi lelaki warga Indonesia dan merampas 10 kilogram (kg) syabu serta tiga kereta bernilai RM631,000 dalam dua serbuan, Jumaat lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, bertindak atas maklumat awam, pada 7.20 malam, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) lbu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur melancarkan dua serbuan di sebuah kondominium di Jalan Ampang di sini.
Beliau berkata, polis kemudian menahan seorang lelaki warga Indonesia, empat lelaki dan seorang wanita tempatan berusia 26 hingga 46 tahun, sebelum merampas 10 kg syabu.
Menurutnya, dadah bernilai RM341,000 itu dirampas di lobi kondominium, bersama-sama Toyota Alphard, Toyota Vios dan Perodua Alza masing-masing bernilai RM175,000 , RM40,000 dan RM75,000).
"Semua suspek warga tempatan mempunyai rekod lampau narkotik dan jenayah, manakala dalangnya, lelaki warga Indonesia tidak mempunyai rekod jenayah.
"Hasil saringan air kencing mendapati semua suspek positif methamphetamine. Nilai keseluruhan rampasan, RM631,000," katanya dalam kenyataan hari ini.
Allaudeen berkata, sindiket pengedaran dadah ini dikesan bergerak aktif di sekitar Kuala Lumpur, sejak dua bulan lalu
"Modus operandi adalah dengan menghantar bekalan dadah kepada pelanggan mengikut pesanan diterima.
"Pihak JSJN IPK KL masih menjalankan siasatan untuk mendapatkan punca bekalan dadah diperolehi. Lelaki Indonesia itu dipercayai bertindak sebagai ketua sindiket, manakala lima warga tempatan yang ditangkap berperanan sebagai ahli sindiket," katanya.
Beliau berkata, tiga daripada warga tempatan mempunyai status individu dikehendaki atas kesalahan narkotik dan jenayah.
"Semua suspek direman selama tujuh hari sehingga 24 November ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.