Kuala Terengganu: Jumlah mangsa banjir di Terengganu terus meningkat apabila seramai 1,048 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS), setakat jam 10 malam.
Semua mangsa daripada 295 keluarga itu ditempatkan di 12 PPS di tiga daerah iaitu Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Setiu.
Ia menunjukkan peningkatan berbanding hanya 893 mangsa daripada 267 keluarga di sembilan PPS pada jam 6 petang tadi.
Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, jumlah mangsa di Kuala Terengganu meningkat kepada 513 mangsa daripada 157 keluarga malam ini berbanding hanya 354 mangsa (107 keluarga) petang.
Kesemua mangsa ditempatkan di tiga PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Chendering, SK Atas Tol dan SK Pasir Panjang.
Di Kuala Nerus, tujuh PPS diaktifkan bagi menempatkan 132 keluarga membabitkan 507 mangsa.
Seramai 28 mangsa daripada enam keluarga di Setiu ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Bintang dan Balai Raya Kampung Bari Besar.
Ketika ini, hujan masih melanda di beberapa tempat di Terengganu.