Manjung: Polis akan memanggil tiga individu dipercayai pemain bola sepak dari Majlis Daerah Setiu (MDS) kerana disyaki mencederakan pengadil ketika Kejohanan 9 Sebelah Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (MALA) 2023 di Padang Pertanian Lekir, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah, berkata, ia susulan mangsa berusia 27 tahun membuat laporan polis pada 7.26 malam kelmarin, menyatakan diserang tiga individu.
Beliau berkata, akibat insiden itu, mangsa yang berkhidmat sebagai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) cedera di bahagian pinggang dan kaki akibat ditendang dan mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Seri Manjung.
"Pengadu adalah pengadil perlawanan bola sepak antara dua pasukan membabitkan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri dengan MDS.
"Semasa pengadu mengumumkan keputusan perlawanan, pihak MDS tidak berpuas hati menyebabkan tiga suspek dipercayai pemain datang menyerang pengadu di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan, malam ini.
Mohamad Nordin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera dengan sengaja.
"Jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum dengan penjara maksimum satu tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
"Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.
"Mereka mempunyai sebarang maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat, Sarjan Norzian Yahya di talian 0193905390 bagi membantu siasatan pihak polis," katanya.
Terdahulu, video berdurasi 30 saat tular di laman Facebook memaparkan seorang pengadil perlawanan cuba melarikan diri namun beberapa pemain mengejarnya serta melakukan terjahan keras terhadap pengadil itu.