Seremban: Gara-gara kurus dan berkulit gelap, Muhammad Aliff Haikal Bahaman pernah menjadi mangsa ejekan orang sekeliling satu ketika dulu.
Bagaimanapun, pembabitan aktif dalam sukan kalistenik sejak 11 tahun lalu membawa perubahan dalam hidup Muhammad Aliff Haikal, 24, dengan bukan hanya menjadikan tubuhnya lebih cergas dan cantik malah menambah keyakinannya.
Bercerita lanjut, Muhammad Aliff Haikal berkata, dia mendapat tunjuk ajar berkaitan teknik dalam sukan kalistenik daripada dua jurulatih juga rakannya iaitu Nur Muhammad Syafiq Mohd Nor, 29 dan Mohd Azizi Abdullah.
Hasil bimbingan dan latihan dijalankan serta minat mendorong Muhammad Aliff untuk bergiat lebih aktif dengan menyertai salah satu kumpulan pemain sukan kalistenik dikenali 'Bartasan Street Workout' yang ditubuhkan pada 2012.
"Penyertaan dalam kumpulan itu yang memberi peluang kepada saya bertemu dengan pemain lain.
"Daripada situ, baru saya tahu ramai rupanya yang aktif, jadi saya cuba bergaul dengan mereka untuk minta tunjuk ajar," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Berkongsi pengalamannya, Muhammad Aliff Haikal mengakui sukan itu berisiko dan boleh mengundang kecederaan jika tersilap langkah atau tidak tahu teknik bermain.
Katanya, dia sendiri pernah jatuh pada 2014 pada tangan kiri dan retak akibat kecederaan dialami ketika bermain.
"Saya pernah juga cedera di bahagian siku kiri tapi kini sudah pulih namun apa yang berlaku mengajar saya untuk bangkit serta maju ke hadapan.
"Alhamdulillah, ibu bapa saya beri sokongan malah saya pernah dapat tempat pertama dalam acara 'freestyle' (gaya bebas) anjuran Majlis Belia dan Sukan Port Dickson," katanya yang menjalani latihan pada malam Rabu dan Ahad serta petang ketika hujung minggu.
Meskipun terbabit kegiatan berfaedah, Muhammad Aliff Haikal mengakui ada yang mempersoalkan pembabitannya dalam sukan berkenaan.
"Ada yang kata 'kau ingat main itu boleh sado ke'?
"Tapi ia tak buat saya hilang semangat dan selepas tujuh bulan, mereka yang mengejek itu terkejut tengok perubahan badan saya," katanya.
Sebagai pemain yang aktif, Muhammad Aliff Haikal mengalukan lebih ramai rakan sebaya dan anak muda untuk aktif sama dalam sukan berkenaan.
"Golongan muda khususnya perlu kekal sihat dan bertenaga supaya sentiasa berada dalam sikap positif, minda cergas , dan berdisplin kerana sukan 'street workout' bukan hanya meningkatkan kecergasan.
"Sebaliknya apabila badan sihat dan tubuh cantik, ia buka peluang kerjaya sebagai anggota beruniform yang mengutamakan soal kecergasan selain model atau terjun dalam bidang lakonan.
"Saya bercakap berdasarkan pengalaman kerana kini aktif sebagai model sambilan jadi kepada masyarakat di luar sana, boleh datang ke Kompleks Belia dan Sukan Paroi kerana kami akan beri tunjuk ajar daripada 'zero to hero' tanpa bayaran," katanya.