LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Hutang dipercayai menjadi motif seorang wartawan sambilan warga Bangladesh dilarikan dan diperas oleh sekumpulan suspek termasuk tiga anggota polis, baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi berkata, ketika ini pihaknya masih mengesan empat individu lain termasuk seorang warga asing yang dipercayai terlibat dalam kes berkenaan.

"Mereka yang dikesan ini termasuk seorang warga asing dipercayai masih berada dalam negara ini.

"Setakat ini, motif disebabkan masalah hutang mangsa kepada kumpulan suspek yang terbabit dalam kes ini," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan enam individu ditahan susulan laporan polis oleh seorang pelajar warga Bangladesh yang mendakwa bapa saudaranya berusia 33 tahun yang juga wartawan sambilan dilarikan.

Bapa saudaranya juga meminta pengadu menyediakan sejumlah wang untuk diselamatkan.

Mengenai perkembangan kes bahan letupan kuari yang dipercayai tercicir ketika dibawa dari Batu Arang ke Puchong, Sasikala berkata pencarian masih dilakukan ketika ini.

Katanya, bahan letupan dalam sebuah kotak itu tidak ditemui walaupun sudah dicari sepanjang jajaran Lebuh Raya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK).

"Kita juga meminta bantuan daripada kakitangan lebuh raya untuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagaimanapun setakat ini, tiada gambaran kotak berkenaan tercicir di lebuh raya itu.

"Jadi kita minta sesiapa yang mempunyai maklumat agar menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-31872222 atau pegawai penyiasat, Sarjan Zulfadzly menerusi 016-4123834," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2023 @ 8:53 PM