Shah Alam: Dua lelaki ditahan bersama 191.5 kilogram (kg) dadah jenis Methamphetamine dianggarkan bernilai RM6.32 juta dalam serbuan di Bukit Puchong, dekat sini, pada 12 November lalu.
Kedua-dua suspek berusia 32 dan 36 tahun itu dipercayai bertindak sebagai transporter dan memperoleh upah sekitar RM5,000 hingga RM7,000.
Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk S Sasikala Devi berkata, dua lelaki berkenaan ditahan dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dalam serbuan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya pada 7.30 malam.
Katanya, hasil soal siasat, suspek mengakui terdapat dadah yang disembunyikan dalam but kenderaan pacuan empat roda Ford Ranger yang diparkir kira-kira 15 meter dari lokasi mereka ditahan.
"Dengan panduan suspek, pasukan serbuan menemui lapan guni mengandungi 190 bungkusan plastik berwarna hijau dengan dengan label Teh Cina 'Guanyinwang Refined Chinese Tea' yang disyaki dadah jenis Methamphetamin dianggarkan seberat 191.5kg.
"Nilai rampasan dadah dianggarkan bernilai RM6.32 juta," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata, hasil semakan kedua-dua suspek juga mempunyai rekod dadah dan jenayah lampau dan hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek yang bekerja sebagai mekanik serta buruh kontrak itu positif dadah.
Sasikala Devi berkata dadah berkenaan dipercayai dibawa dari negeri di pantai timur negara dan di transit di Lembah Klang sebelum dibawa ke negeri di utara.
"Kedua-dua suspek mendakwa ini kali pertama mereka melakukan kerja sebagai transporter bagaimanapun berdasarkan rekod lampau, kita percaya ini bukan tugasan kali pertama mereka.
"Mereka direman bermula 13 hingga 22 November ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 38B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.