Kajang: Kakitangan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani masih belum tampil memberi keterangan atas faktor keselamatan.
Bagaimanapun peguamnya, Faizal Rahman yang mendedahkan perkara itu enggan mengulas lanjut mengenai bila Abdul Wahab akan tampil.
Menurutnya, Abdul Wahab akan dipanggil oleh pihak polis dalam masa terdekat, namun tidak boleh dinyatakan bila.
"Banyak faktor yang kita ambil kira terutamanya dari segi keselamatan.
"Apa pun pihak kami dan polis akan memberi kerjasama," katanya ketika ditemui selepas menemani Bekas Ketua Pengarah J-KOM, Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff mengambil keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, di sini, hari ini.
Ketika ditanya sama ada Abdul Wahab ada menerima ancaman daripada mana-mana individu, Faizal juga enggan mengulas perkara itu.
Beliau hanya menyatakan bahawa anak guamnya itu berada dalam keadaan selamat.
Sementara itu, Faizal yang juga peguam mewakili Mohammad Agus memaklumkan satu laporan baru dibuat pihaknya selepas mendapati terdapat kebocoran maklumat daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan laporan dibuat anak guamnya sebelum ini.
Beliau turut mempersoalkan bagaimana laporan dibuat anak guamnya boleh terdedah meskipun kes itu disiasat dijalankan oleh Unit Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.
"Apa yang pasti laporan yang bocor itu bukan salinan daripada pihak kami.
"Kita tidak mahu buat spekulasi. Apa yang pasti dokumen itu daripada pois dan mereka perlu bertanggungjawab atas kebocoran itu," katanya.