Kuala Terengganu: "Saya sendiri seorang manusia yang 'simple' sahaja dan kurang protokol," kata calon Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata demikian ketika ditanya mengenai personalitinya dalam Sembang Santai Dr Sam di sini.
Menyifatkan dirinya hanya manusia biasa yang kurang protokol, Ahmad Samsuri berkata, beliau lebih fokus kepada penyelesaian masalah yang diutarakan.
"Sepanjang sepenggal saya menjadi Menteri Besar dengan adanya media sosial ini, ramai boleh baca dan ikuti (perkembangan saya) dan tahu saya seorang yang 'simple' cuma yang penting bagi saya adalah bagaimana untuk menyelesaikan apa-apa isu yang timbul.
"Jadi saya sangat terbuka untuk menerima pandangan dan cadangan dan kita mempunyai pelbagai cara dan kaedah bagaimana perkara itu boleh sampai kepada kerajaan termasuk kepada saya sendiri," katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri menyeru kepada semua anggota masyarakat sama ada yang berparti atau tidak untuk bersama-sama membina negeri dan negara ke arah politik yang lebih baik dan matang.
"Memang kita tak nafikan perkara ini (budaya politik matang) satu perkara baharu dan setiap kali perkara baharu kita bawa dalam masyarakat, kita perlu memberi kefahaman kepada seluruh anggota masyarakat.
"Tidak senang kerana bila perseteruan, pertentangan sifat keras ini sudah berakar umbi tetapi itulah beza kita dengan sebagai pelaksana sahaja atau sebagai pemimpin.
"Jadi, pemimpin haruslah mempunyai keazaman yang jitu dan serius untuk melaksanakan perubahan," katanya.
Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas turut menyantuni dan beramah mesra dengan jentera Pas Unit Daerah Mengundi (UDM) Mak Chili, Bukit Mentok, Seberang Tayor dan Pasir Gajah di Dewan Undangan Negeri (Dun) Chukai.