Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf ketika sidang media mengenai jenayah penipuan atas talian yang semakin meningkat, di Ibu Pejabat JSJK, Menara KPJ. FOTO EIZAIARI SHAMSUDIN
Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf ketika sidang media mengenai jenayah penipuan atas talian yang semakin meningkat, di Ibu Pejabat JSJK, Menara KPJ. FOTO EIZAIARI SHAMSUDIN
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 115 laporan berkaitan skim pelaburan I-Serve setakat ini, membabitkan kerugian RM118.6 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, setakat ini, 10 individu sudah ditahan bagi membantu siasatan kes terbabit.

"Kes ini masih dalam siasatan. Ini semua berkaitan penjejakan wang, akaun dan banyak forensik kewangan perlu dibuat," katanya pada sidang media di pejabat JSJK di sini, hari ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan, seorang pengasas syarikat I-Serve Payment Gateway Sdn Bhd ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, Sepang, 6 November lalu.

Tangkapan dibuat bagi melengkapkan kertas siasatan berhubung pelaburan membabitkan beberapa individu yang mempunyai kaitan dengan syarikat berkenaan.

Sebelum itu, siasatan mendapati, syarikat pelaburan I-Serve beroperasi tanpa mendapat kelulusan daripada Bank Negara Malaysia (BNM).

Susulan itu, polis dilapor menerima 67 laporan berkaitan pelaburan I-Serve membabitkan jumlah kerugian lebih RM81.6 juta.

Sebelum itu, seorang lelaki bergelar 'Datuk' ditahan bersama isteri dan anaknya mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 bagi membantu siasatan kes terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2023 @ 2:53 PM