Lee Beng Teik dihadapkan ke Mahkamah Butterworth di sini, atas empat pertuduhan kerana menipu seorang ejen Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan memperdayakannya berhubung Program Insentif Pengambilan Pekerja. FOTO DANIAL SAAD
Lee Beng Teik dihadapkan ke Mahkamah Butterworth di sini, atas empat pertuduhan kerana menipu seorang ejen Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan memperdayakannya berhubung Program Insentif Pengambilan Pekerja. FOTO DANIAL SAAD
Nur Izzati Mohamad

Butterworth: Seorang pengurus syarikat didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan memperdayakan ejen Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berhubung Program Insentif Pengambilan Pekerja (Penjana Kerjaya 2.0) berjumlah RM150,000 pada dua tahun lalu.

Tertuduh, Lee Beng Tiek, 53, turut diperintahkan menjalani hukuman penjara tambahan antara dua hingga empat bulan jika gagal melunaskan denda berkenaan.

Hakim Zulhazmi Abdullah menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah selepas kesemua kertas pertuduhan serta fakta kes dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, tertuduh yang ketika itu Pengurus Syarikat Menbridges Academy Sdn Bhd didakwa secara tidak jujur menipu ejen Perkeso.

Ia adalah dengan cara memperdaya ejen itu untuk mempercayai bahawa 52 nama dalam senarai pekerja melalui Data Penjana Kerjaya 2.0 bagi Program Insentif Pengambilan Pekerja (Hiring Insentive Program) adalah pekerja syarikat berkenaan.

Ia mendorong Perkeso membuat bayaran berjumlah RM150,000 ke akaun syarikat berkenaan yang pertubuhan itu tidak akan berbuat demikian sekiranya tidak diperdayakan tertuduh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Perkeso negeri di Seberang Perai Tengah antara 5 hingga 21 Mac 2021.

Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysian (SPRM) Noor Azura Zulkiflee dan Afiqa Liyana Rozman, manakala tertuduh diwakili peguam Aiman Abdul Rahman dan Haziq Razali.

Ketika prosiding, peguam tertuduh merayu supaya denda minimum dikenakan berikutan ia adalah kesalahan pertama yang dilakukan selain kerjasama anak guamnya yang membuat pengakuan bersalah seawal mungkin sudah menjimatkan masa dan kos semua pihak.

Tambahan pula, tahap kewangan tertuduh juga kurang baik atas faktor Covid-19 dan insaf tidak akan mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan meminta hukuman berbentuk pengajaran dan setimpal dikenakan terhadap tertuduh supaya tidak mengulangi kesalahan serius yang ketika ini kerap berlaku di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2023 @ 12:58 PM