Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: PAS menyifatkan calon PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mempunyai kelebihan dan peluang untuk memenangi kerusi Parlimen Kemaman berbanding calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata ia berdasarkan Ahmad Samsuri adalah Menteri Besar Terengganu berbanding calon BN yang bukannya orang politik.

"Dari segi calon insya-Allah ia memberi kelebihan kepada calon PAS berbanding calon BN memandangkan Ahmad Samsuri adalah Menteri Besar dan lebih dikenali berbanding calon BN.

"Kita mengangkat calon daripada Menteri Besar ini bukan saja-saja sebaliknya ia satu keperluan kerana kita mahu membawa agenda negeri ke peringkat pusat secara terus.

"Walaupun kita mempunyai kelebihan, saya mengingatkan jentera Perikatan Nasional (PN) supaya tidak 'over confident', sebaliknya perlu bekerja keras bagi memastikan kemenangan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman adalah milik kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Himpunan Munajat Pertahan Enakmen Syariah dan Solidariti Untuk Palestin Peringkat Kelntan di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Semalam, media melaporkan PRK Parlimen Kemaman menyaksikan pertandingan dua penjuru antara BN dan PAS.

BN mempertaruhkan Mohamed Affandi manakala Ahmad Samsuri diberi tanggungjawab mempertahankan kerusi Parlimen Kemaman yang dimenangi PAS sebelum ini.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, setakat ini maklum balas dan jentera sangat aktif selain kerjasama antara parti komponen PN juga sudah turun ke lapangan.

"Kita yakin dapat mengekalkan kemenangan kerusi berkenaan dan usaha berterusan perlu dilakukan. Kita juga perlu pastikan peratusan keluar mengundi dapat dipertingkatkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2023 @ 9:58 AM