HUSSEIN (tengah) memaklumkan kertas siasatan kes video tular dikaitkan Mohammad Agus (kiri) dan Abdul Wahab (kanan) sudah diserahkan kepada Bukit Aman. FOTO NSTP
HUSSEIN (tengah) memaklumkan kertas siasatan kes video tular dikaitkan Mohammad Agus (kiri) dan Abdul Wahab (kanan) sudah diserahkan kepada Bukit Aman. FOTO NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Kertas siasatan berhubung isu rakaman video tular mengenai perbualan lucah yang dikaitkan bekas Ketua Pengarah J-KOM Datuk Dr Mohammad Agus dan Penolong Pegawai J-KOM Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani Yusoff diserahkan kepada Bukit Aman.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan berkenaan akan diambil alih oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

"Kertas siasatan diambil alih oleh USJT," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, Hussien mengesahkan pihaknya sudah selesai merakam keterangan Mohammad Agus.

Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan termasuk mengenal pasti individu bergelar 'Mr H' penularan video berkenaan.

"Keterangan beliau (Mohammad Agus) diambil semalam selepas laporan polis dibuatnya di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang.

"Setakat ini masih satu laporan polis diterima mengenai kes terbabit," katanya.

Hussein berkata, siasatan juga masih dijalankan untuk mengenal pasti individu dikenali 'Mr H' seperti yang turut dikaitkan dalam kes terbabit.

"Perkara itu masih dalam siasatan dan polis akan memanggil semua yang terbabit dalam kes ini," katanya.

Semalam, Abdul Wahab mendakwa dia diarahkan oleh seorang individu berjawatan tinggi dikenali 'Mr H' untuk merakam satu klip video bagi memerangkap bekas Ketua Pengarah J-KOM itu.

Abdul Wahab, 33, mendakwa Mr H pernah membuat beberapa pertemuan dengannya dan menawarkan jawatan lebih tinggi sebagai habuan.

Dalam pada itu, Mohammad Agus yang meletak jawatan sebagai Ketua Pengarah J-KOM mendakwa video perbualan yang mengaitkan dirinya adalah palsu dan disunting pihak tidak bertanggungjawab dengan niat mahu menjatuhkan reputasinya.

Siasatan polis dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.

Satu rakaman video berdurasi 3.03 minit membabitkan kes berkenaan tular hingga menjadi topik hangat di media sosial.

Berita berkaitan

'Saya bukan Mr H'

Che'gu Bard cabar Abdul Wahab dedahkan identiti Mr H

Polis siasat identiti 'Mr H'

Polis siasat video tular dikaitkan Dr Agus

Anggap Wahab seperti anak sendiri

Ada pihak tidak puas hati prestasi saya - Dr Agus

Mohammad Agus letak jawatan bukan atas tekanan mana-mana pihak

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 November 2023 @ 4:42 PM