RAJA Mohamed Affandi beramah mesra bersama penyokong BN di Pusat Penamaan Calon PRK Parlimen Kemaman. FOTO Bernama
RAJA Mohamed Affandi beramah mesra bersama penyokong BN di Pusat Penamaan Calon PRK Parlimen Kemaman. FOTO Bernama
BERNAMA

Kemaman: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor menyifatkan PRK ini sebagai medan perang untuk beliau merampas kembali kubu kuat BN itu.

Bekas Panglima Angkatan Tentera itu berkata, beliau akan menggunakan pengalaman yang ada untuk mengatur strategi terbaik bagi menabur bakti kepada rakyat di kawasan itu, sekali gus mengalirkan semula "warna biru" di Kemaman.

"Setiap langkah yang saya ambil hari ini adalah untuk memberi balik apa yang saya peroleh dan dapat daripada Kemaman selama ini dan saya masuk tadi ibaratkan satu medan untuk saya perang balik dalam bentuk yang lain.

"Dengan medan yang baik ini kita mengurus dengan baik, tidak mustahil kita akan alirkan warna biru di Kemaman," katanya kepada media selepas menghantar borang pencalonan PRK Kemaman di sini hari ini.

Membesar di Kemaman yang menjadi kampung halamannya, Raja Mohamed Affandi berkata, beliau membuat keputusan bertanding demi untuk menabur bakti semula kepada penduduk di Parlimen berkenaan.

Sementara itu, calon Pas Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ketika ditemui berkata, beliau menghormati pengalaman serta khidmat yang telah dicurahkan saingannya sebagai bekas Panglima Angkatan Tentera.

"Saya menghormati peranan beliau sebelum ini sebagai Panglima Angkatan Tentera dan setiap calon yang bertanding kita hormat sebagai rakan yang bertanding dalam pilihan raya," katanya.

Ahmad Samsuri berkata tidak timbul isu mengenai kedudukannya sebagai Menteri Besar untuk bertanding pada PRK itu memandangkan ia tidak menyalahi mana-mana undang-undang demokrasi di negara ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 Nov ini sebagai tarikh mengundi awal, manakala 2 Dis bagi hari mengundi untuk PRK berkenaan yang perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas membatalkan kemenangan calon PAS Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum ke-15.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 November 2023 @ 1:20 PM