GAMBAR hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO NSTP
BERNAMA

Jasin: Kemalangan membabitkan dua lori dan satu kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 198.2 arah selatan Lebuhraya Utara Selatan (Plus) berhampiran Jasin ke Ayer Keroh di sini, awal pagi tadi, menyebabkan kesesakan teruk kira-kira tujuh kilometer.

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata. kejadian kira-kira 1 pagi itu membabitkan dua lori iaitu membawa mentega dan barangan sejuk beku selain MPV jenis Toyota Alphard yang dinaiki empat pelancong warga asing.

"Siasatan lanjut pihak polis mendapati kedua-dua lori terbabit dari arah utara dalam perjalanan menghala ke Johor dan apabila tiba di lokasi, dipercayai kenderaan dipandu oleh lelaki berusia 30 dan 32 tahun itu, bergesel.

"Ia menyebabkan kedua kenderaan hilang kawalan lalu terbabas dan memasuki laluan bertentangan," katanya dalam satu kenyataan di sini, pagi ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Jamil berkata, MPV dipandu lelaki berusia 34 tahun yang dari arah bertentangan gagal mengelak lalu bertembung dengan kedua-dua lori terbabit.

Katanya, kesemua mangsa dalam kemalangan dihantar ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2023 @ 10:22 AM