ANGGOTA PGA melakukan kawalan di pinggir Sungai Golok serta meronda dan memantau keadaan di sempadan di Pos Sempadan Meranti Kampung Pak Itam, Pasir Mas, Kelantan.
ANGGOTA PGA melakukan kawalan di pinggir Sungai Golok serta meronda dan memantau keadaan di sempadan di Pos Sempadan Meranti Kampung Pak Itam, Pasir Mas, Kelantan.
Nor Fazlina Abdul Rahim


Tumpat: Sebanyak 151 pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) yang dinaik taraf di seluruh negara membabitkan kos keseluruhan RM45 juta dijangka siap sepenuhnya akhir bulan depan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pihaknya memantau rapi perkembangan projek berkenaan.

"Projek naik taraf membabitkan 151 pos berkenaan dilakukan di seluruh Malaysia yang dikenal pasti daif dan kita berharap projek berjalan lancar bagi memberi keselesaan kepada petugas keselamatan.

"Kita jangka kesemuanya selesai pada akhir Disember depan dan setakat ini projek tidak berdepan masalah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Pos Barisan Hadapan Briged Tenggara Pos Nibong, Tumpat.

Media sebelum ini melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, kerajaan meluluskan peruntukan RM45 jutauntuk kerja-kerja pembaikan dan naik taraf pos kawalan PGA.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, di Kelantan sahaja membabitkan kos baik pulih pos kawalan sebanyak RM4 juta meliputi 16 pos kawalan.

"Kita mahu setiap pos kawalan PGA selesa sebagaimana Pos Nibong dengan bilik berhawa dingin, mempunyai tandas dan ruang pejabat.

"Kita akan pastikan penginapan mereka selepas bertugas adalah selesa dan saya juga akan sentiasa memanntau pos kawalan yang lain," katanya.

Tamat

From: Fazlina

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 November 2023 @ 12:53 PM