MUSA Awang
MUSA Awang
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menyambut baik pengecualian fi atau caj terhadap peguam syarie di Wilayah Persekutuan tahun depan.

Presidennya, Musa Awang berkata, pihaknya menghargai pengumuman yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, hari ini.

Menurutnya, PGSM mewakili semua peguam syarie khususnya di Wilayah Persekutuan serta seluruh negara yang mempunyai Sijil Amalan Peguam Syarie Wilayah Persekutuan berterima kasih atas keprihatinan berkenaan.

"Pengecualian itu juga selari dengan peruntukan dalam Akta Profesion Guaman Syarie (WWP) 2019 (Akta 814) yang memberikan kuasa kepada menteri untuk menetapkan fi di bawah seksyen 23, 24, 29 dan 31 Akta berkenaan.

"Ia amat dihargai oleh seluruh peguam syarie yang turut terkesan dengan situasi ekonomi negara dan seluruh dunia walaupun ia adalah kerjaya profesional, namun majoriti peguam syarie adalah pemilik atau rakan kongsi firma yang turut terkesan dengan situasi ekonomi semasa," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut berharap Majlis Agama Islam Negeri-Negeri dapat mempertimbangkan untuk mengambil langkah sama dengan mengecualikan fi pembaharuan Sijil Amalan Tahunan Peguam Syarie di negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 November 2023 @ 3:41 PM