Zuraini Kamal menerima lima kes berkaitan pesakit kanser yang diganggu ahlong kerana gagal membayar balik pinjaman yang dibuat untuk menampung kos rawatan. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Zuraini Kamal menerima lima kes berkaitan pesakit kanser yang diganggu ahlong kerana gagal membayar balik pinjaman yang dibuat untuk menampung kos rawatan. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Akibat desakan hidup selain tidak ada wang untuk menampung kos rawatan, ada dalam kalangan pesakit kanser dikesan sanggup membuat pinjaman along sehingga diugut untuk mendapatkan bayaran balik.

Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal berkata, pihaknya menerima laporan terdapat lima kes membabitkan pesakit kanser yang membuat pinjaman wang tidak berlesen atau along dengan alasan untuk membayar kos rawatan di hospital.

Beliau berkata, yang terbaru baru-baru di negeri ini, membabitkan seorang pesakit kanser wanita yang kini diganggu along kerana gagal membayar balik pinjaman yang dibuat.

"CSM pernah membantu pesakit itu dan saya agak terkejut apabila dimaklumkan dia kini dikejar along sehingga dihantar video, pesanan melalui WhatsApp, malah pemberi hutang itu turut menghubungi ahli keluarga serta rakan-rakan pesakit untuk menuntut hutang.

"Dalam hal ini, saya cuma boleh menasihatkan mereka supaya membuat laporan polis jika rasa terancam dengan ugutan dan sebagainya," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Zuraini menasihatkan pesakit kanser yang mempunyai masalah kewangan cuba mendapatkan bantuan daripada pihak berkaitan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK).

Katanya, CSM tidak menggalakkan pesakit kanser membuat pinjaman daripada pihak tertentu secara haram kerana ia bukan satu penyelesaian masalah tetapi memudaratkan.

"Kita ni kalau boleh nak fokus rawatan di hospital dan saya faham isu ini agak sukar dan ramai pihak di luar sana yang boleh menyalurkan bantuan kepada pesakit kanser khususnya mereka yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan rawatan di hospital.

"Selalunya pesakit yang kita ziarah, mereka memang terdiri di kalangan kurang berkemampuan dan menghidap kanser, malah kanser ini pula memerlukan rawatan yang panjang dan perlu berulang ke hospital banyak kali," katanya.

Zuraini berkata, setakat ini, pihaknya mengenal pasti ada lima kes pesakit kanser membuat pinjaman along. .

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 November 2023 @ 10:19 AM