FAHMI ketika sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO Bernama
FAHMI ketika sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO Bernama
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil akan berbincang dengan Jabatan Penerangan (Japen) berhubung tindakan membatalkan kad perakuan media wartawan Harakah Daily (Harakah).

Fahmi berkata, beliau mengambil maklum mengenai permohonan rayuan pihak akhbar milik Pas itu untuk memperoleh semula akses kad terbabit.

"Saya difahamkan Harakah ada buat rayuan dan saya akan bincang dengan pihak Jabatan Penerangan.

"Kita sedia seperti Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sebut dia sedia memaafkan dan tidak menjadi masalah (boleh buat rayuan)," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mengenai status permohonan rayuan berhubung isu kad perakuan media Harakah Daily ditarik balik serta gangguan SKMM terhadap kandungan tidak dilihat keterlaluan atau menyentuh sentimen raja, agama dan kaum (3R) termasuk pandangan beberapa veteran media menyuarakan hak kebebasan bersuara sudah tiada pada masa ini.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, kerajaan terbuka menerima pandangan dan kritikan, namun perlu mematuhi etika kewartawanan bagi mengelak tindakan seperti diterima wartawan Harakah tidak berulang.

"Ini tidak terpakai hanya kepada Harakah (tetapi) kepada semua (media). Selain itu, etika kewartawanan ini kita tegaskan kerjasama semua rakan media termasuk veteran disebut tadi.

"Saya berpandangan berbeza, lapan veteran ini kalau mereka masih berkhidmat pada zaman (pentadbiran) sebelum ini mungkin selepas mereka keluarkan kenyataan itu pelbagai tindakan diambil tetapi sehingga hari ini mereka bebas dan terus boleh bersuara," katanya.

Selasa lalu, Ahmad Fadhli memberitahu Dewan Rakyat, kad perakuan media Harakah Daily ditarik Japen.

Tindakan itu dipercayai teguran Anwar berhubung artikel portal Harakah Daily bertajuk 'Malaysia Di Bawah Anwar Ragu-Ragu Sokong Palestin?' dengan gambar Anwar berlatar belakangkan bendera Israel.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2023 @ 12:57 PM