MOHD Naim (kanan) beramah mesra bersama peserta kembara ketika merasmikan Majlis Flag-Off Program Kembara Zakat 2023, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
MOHD Naim (kanan) beramah mesra bersama peserta kembara ketika merasmikan Majlis Flag-Off Program Kembara Zakat 2023, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Rakyat Malaysia yang melakukan ibadah umrah di Arab Saudi disyorkan mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan di negara itu.

Ia susulan larangan oleh Arab Saudi agar tidak sesekali memakai baju atau mafela 'Free Palestine' sewaktu berada di sana kerana ia salah di sisi undang-undang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, larangan dibuat itu peraturan dan kehendak daripada kerajaan Arab Saudi.

"Kalau itu dasar yang ditetapkan atas objektif dan apa yang mereka telah tentukan, saya mengesyorkan dan menasihatkan kepada rakyat Malaysia yang melakukan umrah untuk mematuhi undang-undang ditetapkan.

"Ini disebabkan tujuan kita sekarang ialah membuat umrah. Jadi kita tak nak disebabkan kita langgar peraturan negara lain, hasrat murni kita lakukan umrah itu tidak tercapai," katanya selepas merasmikan Majlis Flag-Off Program Kembara Zakat 2023 di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan hari ini.

Seorang rakyat Malaysia yang menetap di Arab Saudi dilaporkan berpesan kepada jemaah umrah negara ini supaya tidak sesekali memakai baju atau mafela 'Free Palestine' sewaktu berada di sana kerana ia salah di sisi undang-undang.

Wanita dikenali sebagai Masnira Ramli itu memberitahu, ini berikutan terdapat jemaah yang ditahan susulan kesalahan itu sekali gus menasihati jemaah umrah Malaysia supaya berhati-hati.

Mengulas lanjut, Mohd Na'im berkata, perkara yang paling penting adalah untuk patuh kepada undang-undang.

"Kalau kita kena tangkap, umrah pun tak sempat nak pergi, macam mana kita nak berdoa (untuk) saudara kita yang berada di Gaza?

"Kita kena berikan keutamaan. Lakukan ibadah umrah (dengan) selamat dan masa itulah kita ambil peluang di hadapan multazam untuk berdoa kepada Allah SWT.

"Dan meminta Allah SWT untuk selamatkan saudara kita yang berada di Gaza," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2023 @ 11:59 AM