Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Malaysia akan membuat keputusan dalam masa terdekat mengenai penyertaannya dalam Minggu Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2023 di San Francisco, California, Amerika Syarikat

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setakat ini kebanyakan negara menghadiri sidang APEC berkenaan.

"Saya sedang berkoordinasi dengan semua negara. Setakat ini, kebanyakan (negara) hadir.

"Jadi saya akan semak (perkara) ini dalam satu atau dua hari lagi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Ekspo Digital Malaysia (MDX) 2023 Grand Finale di sini, hari ini.

Minggu lalu pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, Perdana Menteri berkata, maklumat yang diperoleh kelak membolehkan Malaysia mengambil keputusan seiring dengan ketetapan negara Asia lain termasuk China untuk mengetahui pendirian mereka sama ada mahu memboikot kehadiran pada sidang APEC.

"(Kehadiran Malaysia di) APEC kita sedang teliti. Ini badan ekonomi Asia Pasifik.

"Jadi kita hubungi dengan negara Asia, China (untuk tahu) tentang kedudukan mereka. Kita akan ambil keputusan selaras dengan pendirian rakan lain dan Asia," katanya di Parlimen, 31 Oktober lalu.

Datuk Seri Anwar Ibrahim. FOTO FAIL BERNAMA
Datuk Seri Anwar Ibrahim. FOTO FAIL BERNAMA

Beliau dilaporkan berkata demikian bagi menjawab pertanyaan dibangkitkan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad (PN-Machang) sama ada Malaysia bercadang untuk memboikot sidang APEC nanti sebagai tanda solidariti terhadap Palestin.

Selain mesyuarat pemimpin APEC, kalangan pemimpin ASEAN kecuali Myanmar turut dipelawa bagi mesyuarat berasingan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden.

Negara anggota APEC adalah Australia, Brunei, Kanada, Chile, China, Hong Kong, Malaysia, Indonesia, Jepun, Korea, Mexico, New Zealand, Papua New Guinea, Peru, Filipina, Rusia, Singapura, Taipei, Thailand, AS dan Vietnam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2023 @ 11:57 AM