Mohamed Farid Noh

Singapura: Malaysia sekali lagi menggesa supaya gencatan senjata dikuatkuasakan di Gaza serta mendesak rejim Zionis menghentikan serangan ke atas orang awam tidak berdosa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Malaysia dan Singapura mempunyai pendirian sama dengan menyokong resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya gencatan senjata segera dilaksanakan di wilayah bergolak.

"Malaysia mempunyai pendirian lebih tegas dalam isu Palestin, paling utama adalah keamanan di wilayah bergolak dengan pembunuhan kepada orang awam terutama kanak-kanak dan wanita perlu dihentikan segera.

"Saya juga sudah bertemu beberapa pemimpin Islam dan negara Arab utama bagi menyatakan pendirian Malaysia supaya penyelesaian secara aman dapat dicapai selain bantuan kemanusiaan dapat disalurkan segera kepada rakyat Palestin terjejas," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, sempena Sesi Permukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura Ke-10, di sini, hari ini.

Selasa lalu, Malaysia dilaporkan menuntut supaya gencatan senjata dikuatkuasakan di Gaza serta mendesak rejim Zionis Israel menghentikan serangan.

Perdana Menteri dilaporkan berkata, Malaysia juga mahu urusan bantuan kemanusiaan dipermudahkan serta kezaliman, kesengsaraan dan penderitaan yang dialami rakyat Palestin selama ini dinoktahkan.

Anwar tiba di Singapura malam kelmarin, untuk lawatan kerja selama dua hari sempena Sesi Permukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura Ke-10.

Anwar berada di sini pada Januari tahun ini untuk lawatan rasmi sulungnya ke Singapura selaku Perdana Menteri dan pada September lalu beliau menyertai dua sesi khas di Sidang Kemuncak Asia Ke-10 Institut Milken.

Ini adalah pertemuan pertama antara kedua-dua pemimpin dalam kerangka permukiman.

Sesi Permukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura adalah mekanisme dua hala peringkat tertinggi antara kedua-dua negara, yang dihoskan secara bergilir-gilir sejak 2007.

Sesi permukiman ini tertangguh sejak 2019 kerana pandemik Covid-19.

ANWAR pada sidang media bersama Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, sempena Sesi Pemukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura Ke-10, hari ini. FOTO Reuters
ANWAR pada sidang media bersama Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, sempena Sesi Pemukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura Ke-10, hari ini. FOTO Reuters

Mengulas isu tertunggak antara Malaysia dan Singapura yang dibincangkan bersama Hsien Loong, Perdana Menteri berkata, isu maritim terutama Batu Puteh antara yang disentuh dalam pertemuan bersama berkenaan.

"Pendirian kami adalah Peguam Negara Malaysia dan Singapura perlu mengadakan perbincangan lanjut untuk menyelesaikan isu tertunggak berkaitan Batu Puteh.

"Bagi isu tertangguh lama termasuk ruang udara penerbangan yang diperlukan Singapura terutama untuk kegiatan latihan dan komersial, ia turut disentuh. "Dari segi komersial, ratusan penerbangan dunia memasuki Singapura juga sebenarnya boleh memberi manfaat kepada Malaysia, jika ada persefahaman antara dua negara, maka ia akan beri manfaat," katanya.

Anwar berkata, isu tenaga boleh diperbaharui juga turut dibincangkan, dengan Malaysia memberi komitmen untuk terus membekalkan tenaga berkenaan.

Apatah lagi katanya, Singapura juga sudah meningkatkan pelaburan tenaga boleh diperbaharui di Malaysia bagi memacu perkembangan sektor berkenaan.

"Komitmen Malaysia terhadap sektor tenaga diperbaharui ini akan kita perkukuhkan apatah lagi Sarawak selain semenanjung turut berminat untuk mengeksport tenaga kepada Singapura dan Indonesia, dan kita sudah persetujui perkara ini dengan Singapura," katanya.

Perdana Menteri berkata, beliau berpendirian Malaysia dan Singapura perlu menunjukkan semangat setiakawan dalam menyelesaikan isu tertunggak antara dua negara dalam suasana menang menang.

"Saya teruja dengan perbincangan pemukiman bersama Hsien Loong ini kerana kita mencapai komitmen yang tak dijangka dan belum pernah berlaku antara Malaysia dan Singapura," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2023 @ 4:50 PM