Bank Negara Malaysia (BNM)
Bank Negara Malaysia (BNM)
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Siasatan mendapati syarikat pelaburan i-Serve beroperasi tanpa mendapat kelulusan daripada Bank Negara Malaysia (BNM).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, perlu diketahui bahawa operasi syarikat i-Serve dibuat tanpa mendapat kelulusan BNM.

"Syarikat i-Serve sudah dijatuhi hukuman oleh BNM manakala di pihak JSJK kita melihat dari perspektif jenayah.

"Perkembangan siasatan adalah positif mengenai peranan mereka yang ditahan bagi membantu siasatan," katanya kepada Harian Metro hari ini.

Ramli berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan dan JSJK tidak boleh memperincikan satu persatu kerana akan memberi implikasi undang-undang kelak.

Harian Metro semalam melaporkan polis tidak menolak kemungkinan akan menahan beberapa lagi individu bagi membantu siasatan kes pengubahan wang haram membabitkan syarikat pelaburan i-Serve dan MyAirline.

Ramli dilaporkan berkata, siasatan sedang dijalankan termasuk mengesan pembabitan individu lain dalam kes itu.

Beliau sekali lagi menyeru pelabur i-Serve supaya tampil membuat laporan polis.

Terdahulu, empat suspek baru ditahan bagi siasatan kes pengubahan wang haram membabitkan syarikat pelaburan i-Serve dan MyAirline, direman antara sehari hingga empat hari.

Ramli dilaporkan berkata, semua suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Katanya, suspek pertama seorang wanita berusia 30 tahun bekerja di i-Serve sebagai pembantu kewangan sebelum dilantik sebagai ahli lembaga pengarah dan rakan kongsi kepada beberapa syarikat yang dipertanggungjawab memantau, menyediakan dokumen serta menguruskan pembayaran dividen kepada pelabur.

Suspek kedua ditahan adalah wanita berusia 33 tahun yang bekerja di i-Serve secara dalam talian sejak 2013 sebagai pembantu kewangan sebelum dilantik sebagai ahli lembaga pengarah di beberapa syarikat dan pengurus bendahari, bagi menguruskan kutipan jualan semua premis barang dijalankan syarikat itu.

Individu ketiga adalah lelaki berusia 48 tahun berperanan sebagai pengurus penyelidikan dan pembangunan di syarikat terbabit pada 2006 yang bertanggungjawab membuat sistem serta perisian syarikat i-Serve, selain dilantik menjadi ahli lembaga pengarah kepada beberapa anak syarikat termasuk MyAirline.

Suspek keempat iaitu lelaki berusia 62 tahun berperanan sebagai peguam i-Serve.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2023 @ 1:47 PM