PEGUAM warga Palestin, Jehad Al-Kafarnah meratapi jenazah isterinya yang sarat mengandung 8 bulan, maut terkena bom rejim zionis. FOTO REUTERSs
PEGUAM warga Palestin, Jehad Al-Kafarnah meratapi jenazah isterinya yang sarat mengandung 8 bulan, maut terkena bom rejim zionis. FOTO REUTERSs
BERNAMA

Kuala Lumpur: Tindakan Israel mengebom Palestin dengan sewenang-wenangnya sejak konflik bermula Oktober lalu, sekali lagi menunjukkan ketidakmampuan dan kepura-puraan kuasa besar dan badan antarabangsa dalam menoktahkan kekejaman rejim zionis sama ada di Semenanjung Gaza mahupun di Tebing Barat.

Walaupun desakan daripada masyarakat awam dan pemimpin yang prihatin di seluruh dunia kian memuncak untuk memaksa rejim menghentikan segera pembunuhan ribuan orang awam yang tidak bersalah, namun situasi di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat semakin teruk dari hari ke hari.

Prof Dr Mohd Mizan Mohammad Aslam dari Jabatan Hubungan Antarabangsa, Keselamatan dan Undang-undang di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia berkata Israel mesti bertanggungjawab atas semua pembunuhan yang dilakukan terhadap rakyat Palestin di Gaza.

"Tetapi kegagalan badan-badan dunia termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Majlis Keselamatan PBB untuk mengambil tindakan tegas ke atas rejim itu, tidak mengutuk tindakan itu sebagai pembunuhan beramai-ramai, hanya memarakkan lagi jenayah keji mereka," katanya.

Sikap tidak ambil kisah kuasa-kuasa besar dunia jelas dapat dilihat sejak dari awal. Pada Rabu, Majlis Keselamatan PBB gagal menerima pakai dua resolusi untuk menangani krisis kemanusiaan di Gaza.

Negara-negara yang prihatin terhadap nasib rakyat Palestin, termasuk Malaysia dan dunia Arab, meneruskan usaha itu di Sidang Khas Tergempar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada Khamis, menyaksikan resolusi yang ditaja Jordan untuk gencatan senjata dan bantuan kemanusiaan tanpa halangan diterima pakai pada Jumaat dengan 120 undi menyokong.

Ini bukan kali pertama Palestin menghadapi malapetaka kemanusiaan akibat kekejaman Israel, maka penyelesaian yang berkekalan amat diperlukan.

Mizan berkata dalam mencari penyelesaian, akar umbi kepada konflik itu perlu dikaji semula.

Apa yang paling penting di sini adalah untuk menghentikan pendudukan haram di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat, merampas tanah milik penduduk Palestin, pencerobohan, penganiayaan dan pembunuhan rakyat Palestin di Gaza yang dilakukan oleh Israel mesti dihentikan.

"Konflik terkini yang tercetus itu berpunca akibat penindasan dan kekejaman rejim Israel terhadap Palestin dan rakyatnya yang sudah berlarutan sejak sekian lama menjangkau lebih tujuh dekad. Jika isu itu tidak diselesaikan, percayalah ia akan berulang dari semasa ke semasa," katanya.

Mizan berkata, semua pihak perlu menekan Israel supaya mematuhi perjanjian sempadan sebelum 1967 seperti yang digariskan oleh resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dengan al-Quds (Baitulmaqdis) sebagai ibu negara Palestin.

Bagaimanapun, beliau ragu-ragu Israel yang menerima sokongan kuat daripada beberapa negara paling berkuasa akan berbuat demikian.

"Apabila Israel berterusan tidak mematuhi semua perjanjian itu, adakah anda fikir mereka berniat untuk berdamai dengan rakyat Palestin? Sudah tentu tidak.

"Keamanan bukanlah yang cuba dikejar Israel, mereka hanya bertindak sesuka hati mereka kerana tiada sebarang tindakan akan dikenakan terhadap mereka," katanya.

Penganalisis itu berkata konflik yang berpanjangan itu akan menjejaskan kestabilan di rantau berkenaan ketika iklim geopolitik semasa yang tidak menentu.

"Dengan penglibatan AS, ditambah dengan campur tangan Rusia dan Hizbullah, semua itu akan menyebabkan keadaan menjadi lebih kucar-kacir. Ini akan memberikan kesan buruk untuk rantau itu dan dunia," katanya.

Beliau turut mencadangkan PBB mewujudkan zon bebas tentera bagi menjamin keamanan dan ketenteraman di kawasan itu.

"PBB mesti memainkan peranan penting dalam mewujudkan zon bebas tentera terutamanya di Baitulmaqdis Timur. Kita memerlukan PBB untuk membina zon penampan, meminta misi pengaman untuk masuk dan menyelia isu itu," katanya.

Lebih 7,000 rakyat Palestin di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat terbunuh, dengan 70 peratus daripadanya kanak-kanak, wanita dan warga emas manakala lebih 18,000 lagi cedera akibat serangan udara Israel sejak 7 Okt.

Wilayah yang dihuni kira-kira 2.3 juta penduduk itu, sering dirujuk sebagai penjara terbuka, kini terkepung sepenuhnya, dengan bekalan makanan, air, ubat-ubatan dan bahan api semakin kehabisan, manakala konvoi bantuan yang dibenarkan masuk ke Gaza setakat ini hanya mampu membawa sebahagian kecil barangan yang diperlukan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2023 @ 4:18 PM