Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Lembaga Tabung Haji (TH) disaran memperkenalkan semula kuota khas haji seperti dilaksanakan pada tahun 2017 bagi membolehkan golongan fakir, miskin dan mualaf dari negeri ini menunaikan ibadah haji.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, Maidam bersedia membiayai kos menunaikan rukun Islam kelima itu jika TH bersetuju memperkenalkan semula kuota berkenaan.

"Beberapa ketetapan akan diambil kira termasuk berusia 50 tahun ke atas, sihat tubuh badan serta fasih membaca al-Quran,"," katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Anugerah Insentif Pakej Menunaikan Umrah Peserta Tilawah, Hafazan al-Quran, Azan dan Kuiz Saudara Kita, di Dewan Kompleks Darul Hidayah, di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Penolong Setiausaha (Pengurusan Zakat) Maidam, Nazli Amirri Ngah.

Shaikh Harun berkata, Maidam akan mengadakan perbincangan dengan pengurusan TH bagi tujuan berkenaan.

"Kita akan bincang dan minta agar pengurusan TH meluluskan permohonan kuota tambahan menunaikan haji terutama kepada Maidam," katanya.

Shaikh Harun (empat kanan barisan belakang) bersama mualaf yang ditaja MAIDAM untuk mengerjakan umrah. FOTO BAHAROM BAKAR
Shaikh Harun (empat kanan barisan belakang) bersama mualaf yang ditaja MAIDAM untuk mengerjakan umrah. FOTO BAHAROM BAKAR

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2023 @ 12:07 PM