Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Permohonan warga emas untuk memperoleh taraf kewarganegaraan di negara ini kebanyakannya gagal disebabkan tidak melepasi ujian penguasaan bahasa Melayu (BM).

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ujian penguasaan bahasa Melayu merupakan syarat bagi permohonan berkenaan.

"Di negara luar 'best practices' kita teliti. Mereka menghendaki untuk memohon warganegara boleh berbahasa rasmi negara berkenaan.

"(Di Malaysia) markah tak lulus satu, (manakala) markah lulus lapan (dan) ada ratingnya (kadarnya). Sekarang ini yang dua pun kadang-kadang saya luluskan. Dua ini bermakna 'terima kasih', dia jawab 'sama-sama.' Itu pun lulus.

"Kita turunkan kayu ukur sampai ke situ. Ada yang warga emas ini mereka terlalu fasih dengan bahasa asing sampai tidak boleh langsung (berbahasa Melayu). Itu antara kekangan yang kita hadapi," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (BN-Tanjung Piai) mengenai isu permohonan warganegara golongan warga emas yang tidak diluluskan, selain mengambil masa lama untuk proses kelulusan.

Saifuddin dalam masa yang sama turut menafikan dakwaan ada sejuta penduduk Sabah tidak mempunyai dokumen sah sebagai warganegara seperti yang dinyatakan oleh Lo Su Fui (GRS-Tawau).

"Saya mohon (Lo) bantu saya selepas ini. Sebab sepanjang 10 bulan saya berada di KDN, saya belum jumpa data ini lagi. Barangkali Tawau ada maklumat, boleh salur," katanya.

Menurutnya, sepanjang 10 bulan berada di KDN, beliau membuat keputusan mengenai 10,381 permohonan warganegara dan kebanyakan kes ini membabitkan anak angkat dan anak tidak sah taraf.

"Saya tahu mereka tidak boleh ke sekolah. Kalau ke hospital bila sakit terpaksa bayar bil yang tinggi. Saya tahu. Sebab itu saya minta pegawai saya di KDN selesaikan yang ini dulu.

"Sebaliknya kita ditohmah luluskan puluhan ribu warganegara kepada rakyat China. Ini jahat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2023 @ 2:00 PM